PUTRAJAYA, 10 Dis – Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2013 telah berlangsung meriah di Hotel Sama Sama KLIA  untuk kali ke 6 penganjurannya. Ia sebagai tanda simbolik USIM memberi penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian cemerlang pelajar yang telah mempamer daya saing dan motivasi yang tinggi dalam aktiviti berpersatuan serta pertandingan hasil garapan kemahiran insaniah yang ditonjolkan serta melonjakkan nama USIM di peringkat nasional dan antarabangsa sepanjang tahun 2013.

“Adalah amat unik dan membanggakan apabila pelajar USIM yang majoritinya berlatarbelakangkan sekolah agama mampu mempamer persembahan kesenian yang cemerlang yang mana mampu menandingi dan mencabar keupayaan mahasiswa/i dari IPTA lain,” ujar Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya.

Prof. Dato Dr Musa turut menyatakan penglibatan pelajar dalam aktiviti kemahasiswaan yang tidak dapat diperolehi di dalam kuliah mampu membina kemahiran insaniah sekaligus membentuk kualiti menjadi pemimpin cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing apabila masuk ke alam kerjaya nanti.

Manakala menurut Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti “Penerapan kemahiran insaniah hendaklah dititikberatkan dalam usaha melahirkan graduan yang holistik, seimbang, berdaya saing dan meluaskan pengalaman yang berupaya memberi nilai tambah terhadap kebolehpasaran pelajar di alam kerjaya,”ucap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

“Saya menyeru supaya setiap aktiviti pelajar ini dipastikan mempunyai elemen kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, kemahiran berfikiran kritis, penyelesaian masalah, kemahiran bekerja berpasukan, kemahiran keusahawanan, pembelajaran berterusan selaras dengan pembangunan etika dan moral pelajar. Ini kerana potensi pelajar USIM untuk menjawat pelbagai jawatan amat cerah berpaksikan kepada sistem pembelajaran yang unik iaitu integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang lengkap ilmu duniawi dan ukhrawi bakal menjadi antara kumpulan profesional yang unggul dan dinamik,” tambah Tan Sri Shukor.

Muhammad Safwan Hamdy, 22 pelajar program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko Fakulti Sains dan Teknologi dianugerah Tokoh AKSIS 2013 dan turut berjaya merangkul dua anugerah lain iaitu Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam Terbaik dan Anugerah Tokoh Cemerlang Kepimpinan Siswa. Safwan merupakan seorang yang aktif dan berbakat dalam aktiviti debat sejak dari program Tamhidi lagi. Pernah menyertai pertandingan Debat Naib Canselor, Pertandingan Debat Bahasa Arab Antara Sekolah Menengah KPM Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Nusantara dan Pertandingan Debat Bahasa Inggeris iaitu Debat Piala Diraja 2010 di UTHM, Johor.

Beliau tidak menyangka akan kemenangan yang diperolehi ini dan menyatakan atas sebab minat dalam berprogram dan menjaga hubungan baik dengan warga universiti adalah faktor menyumbang kejayaan ini.

“Saya berharap agar pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada para junior untuk terus bersemangat dalam berprogram, bukan semata mata untuk meraih pengiktirafan ini, tetapi untuk pengalaman dan pelajaran kemahiran berporgram, berpersatuan, berkomunikasi yang cukup berharga yang tidak diajar di dalam kelas. Untuk saya sendiri, saya berharap segala pengalaman yang saya peroleh sepanjang tempoh saya belajar di USIM akan membantu saya dalam era kerjaya saya kelak” jelas Safwan.

Antara anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik, Anugerah Pemimpin Program Inovasi Terbaik, Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan Terbaik, Anugerah Pemimpin Program Sukan dan Rekreasi Terbaik, Anugerah Sukarelawan Kesejahteraan Komuniti Terbaik, selain Anugerah Sukarelawan Terbaik, Anugerah Cemerlang Pencapaian Inovasi, dan Anugerah Cemerlang Pencapaian Kebudayaan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersama isteri, Pengurusan Tertinggi Universiti, Pengetua Kolej Kediaman dan Alumni USIM.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan dari Urus Setia Kesenian Pelajar kumpulan, Teater Atra, Dikir Barat Tabuh Pendeta dan nyanyian The Bachelors dari Pusat Kebudayaan USIM.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204