NILAI, 1 Okt–Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pejabat Perhubungan Alumni yang diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menyediakan dana kepada para alumni USIM untuk melaksanakan program dikalangan mereka dan alumni bersama pelajar.

Saban tahun melalui Majlis Konvokesyen yang diadakan sejak 2002, alumni Universiti yang dilahirkan sentiasa bertambah dan sehingga kini melebihi 9000 orang. Menurut Pengurus Pejabat Perhubungan Alumni USIM, Dr. Mahazan Abdul Mutalib, Universiti telah menetapkan garis panduan untuk permohonan dana ini oleh alumni dan jumlah yang diuluskan melihat kepada impak program yang dilaksanakan.

“Tiada jumlah maksima yang ditetapkan. Melalui dana ini, interakasi alumni bersama university akan sentiasa berlaku dan melaluinya juga, pengumpulan data-data terkini seperti kerjaya mereka selepas bergraduasi dapat diperolehi.”

“Pejabat Perhubungan Alumni kini amat agreasif dalam proses memperkemaskan data-data alumni USIM sedia-ada. Selain penganjuran program dikalangan alumni, sebuah laman khas, Portal Alumni USIM (ealumni.usim.edu.my) turut dibangunkan untuk mendapatkan maklumat kerjaya secara menyeluruh untuk pembinaan pengkalan data alumni dan membantu memenuhi keperluan Sistem Penarafan Intitusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA)” katanya.

“Kita juga melihat keistimewaan yang dapat diberikan kepada alumni untuk menggunakan kemudahan didalam kampus seperti perpustakaan, kolej kediaman, fasiliti sukan dan lain-lain. Selain itu, masih diperingkat cadangan awal juga adalah penubuhan Majlis Penasihat Alumni diperingkat Universiti.” Ujarnya lagi.

Beliau ditemui semasa Majlis Inspirasi Alumni Bersama Mahasiswa USIM anjuran Pejabat Perhubungan Alumni. Pengisian utama majlis ini adalah sesi forum santai “Mahasiswa Hari Ini, Alumni HariEsok” dengan ahli panel terdiri daripada alumni yang berkhidmat di USIM bagi berkongsi pengalaman mereka semasa alam mahasiswa, kerjaya dan motivasi dengan hadirin yang hadir.

Menurut salah seorang panel, Dr. Mohamad Isa Amat yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asean (ACREDA) USIM, mahasiswa perlu sentiasa mencintai Universiti dan menetapkan niat utama memasuki Universiti untuk menuntut ilmu pengetahuan. Serba sedikit kekurangan yang terdapat di kampus tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berjaya.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204