PULAU PINANG, 16 Jun 2023 – Alumni kelahiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi menjadi tumpuan apabila Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dinobatkan sebagai naib johan dan Mohamad Husaini Mahmur memenangi tempat ketiga bagi kategori tilawah al-Quran sempena Majlis Tilawah & Hafazan Al Quran Kebangsaan 2023 (MTHQK).

MTHQK kali ke-65 menyaksikan  penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah peserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14orang Qariah dan seorang Johan Menunggu Qari.

Aiman Ridhwan anak jati negeri Perak merupakan salah seorang peserta Johan Menunggu MTHQK tahun ini.  Pemilik Ijazah Sarjana Muda Al-Quran Sunnah USIM ini menanam cita-cita sejak kecil untuk menjadi pensyarah dan mahir dalam bidang al-Quran. Mengulas lanjut tentang keputusan MTHQK, Aiman menyifatkan bahawa kesemua peserta menampilkan persembahan terbaik dan dipelopori oleh generasi muda.

Dalam pada itu, Mohamad Husaini Mahmur yang juga alumni USIM memanjat kesyukuran di atas kejayaan yang diperolehinya dan menyifatkan bahawa pesaingan sengit antara peserta dan tahap penguasaan bacaan dalam kalangan peserta semakin baik. Husaini mendapat tempat ketiga buat kali pertamanya pada tahun 2020. Beliau kini merupakan guru al-Quran tetap berazam untuk tampil sebagai johan tilawah peringkat kebangsaan pada suatu  masa nanti.

Johan qari disandang oleh peserta yang mewakili negeri Kelantan, Muhamad Qayyim Nizar Sarimi.

Seramai 32 orang hakim terlibat dalam pertandingan ini, iaitu 17 orang untuk menilai bacaan para peserta Tilawah manakala 15 orang hakim menilai para huffaz. Negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) yang telah berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun 2023 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.

 

sumber: Rozihani Mohamad, Pusat Kebudayaan USIM

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan