NILAI, 10 OKTOBER 2016 –  Berpeluang menimba ilmu dan pengalaman yang berharga merupakan detik-detik manis bagi sebelas orang alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membawa kepakaran dan kemahiran mereka ke persada dunia apabila mereka terpilih sebagai Arabic Ambassador yang ditempatkan di kaunter penerangan di Kuala Lumpur International Airport.

Mereka adalah Nur Azilah Mohd Razali, Muhammad Saifullah Razali, Siti Nor Afeeqah Md Azhar, Farah Hanim Zahari, Noor Syamilah Othman, Masiha Al-Sakina Adnan, Siti Farhana Ismail dan Siti Aminah Mohamed, Nor Aida Sharina Abdul Razal, Muhammad Faiez Ghazali dan Robiatulhadawiah Ismail.

Melalui hasil perjanjian MoA antara USIM dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, program ini dikenali sebagai Arabic Ambassador di mana mereka ditugaskan untuk membantu pelancong dari Timur Tengah khususnya dari segi hebahan dan pengumuman penting, menjawab pertanyaan umum berkenaan waktu dan lokasi perlepasan dan sebagainya.

Menurut Nur Azilah Mohd Razali, 24 tahun berasal dari Kelantan yang merupakan alumni dari Program Bahasa Arab dan Komunikasi USIM, memikul tanggungjawab sebagai penterjemah kepada pelancong Timur Tengah bagi menyelesaikan beberapa masalah antaranya seperti visa, passport, pengumuman solat, pertukaran pintu pelepasan, pembatalan pesawat, penangguhan dan kanak-kanak hilang merupakan rutin harian mereka yang menjadikan mereka lebih bersemangat memantapkan lagi bukan sahaja Bahasa Arab bahkan Bahasa Inggeris.

“Selain itu kami turut menjadi juruhebah bagi beberapa penerbangan yang menuju ke Timur Tengah seperti Dubai, Riyadh, Kuwait dan Istanbul kerana kebanyakan mereka juga sering berkunjung ke Langkawi dan Pulau Pinang yang merupakan destinasi pilihan mereka”, jelas Azilah.

“Cabaran sebagai Arabic Ambassador adalah apabila untuk memahami penggunaan Bahasa ‘pasar’ atau Bahasa ‘Ammi’  negara masing-masing”, tambah Azilah.

Bagi Muhammad Saifullah Razali, 25 tahun berasal dari Kelantan juga merupakan alumni Program Pengajian Dakwah dan Pengajian Islam USIM, peluang yang diberi ini tidak akan di sia-siakan bahkan memberi peluang meningkatkan keyakinan diri berhadapan dan berkomunikasi dengan bangsa lain disamping dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong luar yang datang ke Malaysia khususnya. Memberanikan diri dan tidak malu bertutur Bahasa Arab, sering menonton drama Arab dan mendengar lagu Arab menjadikan Saifullah tidak gentar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Manakala bagi Farah Hanim Zahari, 23, merupakan alumni Program Bahasa Arab, kerjaya ini sangat banyak ruang dan peluang diperolehi setelah terpilih sebagai duta kecil arab di KliA, antara pengalaman sepanjang berkhidmat di Klia adalah dapat menyelesaikan masalah dikalangan pelancong Timur Tengah yang kurang fasih berbahasa antarabangsa iaitu Bahasa Inggeris, antaranya adalah masalah berkaitan visa, passport, tuntutan bagasi, dan masalah pembelian tiket. Adapun, satu kepuasan bagi beliau apabila dapat membantu menyelesaikan masalah pelancong yang datang melawat malaysia, apatah lagi kalau dapat mempromosikan Malaysia kepada pelancong khususnya dari Timur Tengah

“Kerja yang pelbagai sebagai contoh kami akan ditugaskan sebagai pembantu penerangan, juruhebah, dan juga wakil yang berkaitan pelancongan ini sangat memberi kesan dari segi komitmen dan keyakinan diri kerana program duta kecil adalah suatu usaha murni dalam memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam bidang yang berkaitan. Ini dapat dibuktikan apabila ramai pelajar usim yang selepas menamatkan kontrak program ini, mereka meneruskan kerjaya sebagai juruhebah di stesen-stesen radio, pegawai wakil pelancongan, dan ada yang bekerja di bawah syarikat penerbangan”.

Program Arabic Ambassador ini telah masuk tahun ke 10 sejak ia mula dijalankan pada tahun 2006 lagi. Saringan dilakukan melalui sesi temuduga oleh dua orang panel yang berpengalaman dan sekurang-kurangnya seramai 12 orang yang akan diterima secara kontrak bagi menjalankan tugas sebagai Duta Kecil Arab ini. Selain sebagai juruhebah, mereka juga ditempatkan di lima lokasi untuk bertugas secara bergilir-gilir/ shift iaitu di Information Counter at International Departure, Information Counter at Contact Peer, Information Counter at Satellite Building dan Public Announcement  Room.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204