PUTRAJAYA, 8 Januari 2021 – Mendepani cabaran 2021 ketika dunia masih bergelumang dengan pandemik Covid-19 ini, warga pendidik, ibu bapa serta pelajar harus mempersiapkan diri dan mempunyai anjakan paradigma menerima senario baharu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang akan diteruskan secara dalam talian sehingga penularan covid-19 ini reda dengan jumlah kes jangkitan dapat dikurangkan.

Hakikatnya ia semestinya satu cabaran yang besar buat ibubapa untuk menyediakan keperluan PnP norma baharu ini. Juga warga pendidik tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian yang memerlukan guru menguasai dan mempunyai literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang cekap lagi pantas.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menggariskan enam fokus strategik di Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi Tahun 2021 yang bersiaran secara langsung melalui Facebook Rasmi KPT pada 7 Januari lalu.

Iaitu Memperkasakan Agenda Pendigitalan Pendidikan, Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik, Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan, Memacu Kesejahteraan Komuniti, Mempersada Kecemerlangan Institusi, dan Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin.

“Bagi memastikan bahawa enam fokus strategik yang saya nyatakan tadi dapat dilaksanakan, saya ingin mencadangkan supaya kita dapat menerapkan nilai organisasi yang saya ringkaskan sebagai 5S, iaitu Speed; Synergy; Solidarity; Strategic; dan Standard”.

“Pertama Speed merujuk kepada kepantasan dalam bertindak dan melaksanakan sesuatu tugasan. Saya mahu supaya dalam setiap diri warga kerja KPT diterapkan budaya kepantasan bertindak atau cepat dalam membuat keputusan. Sesungguhnya kecemerlangan penyampaian perkhidmatan hendaklah berpaksikan kepada budaya kesegeraan supaya kita terus berdaya saing dan kekal relevan. Kita perlu mengubah minda agar sentiasa ingin menjadi lebih baik dan bersedia mencabar status quo serta keluar dari kepompong keselesaan”.

“Kedua SYNERGY adalah kebersamaan kita dalam setiap tindakan yang kita ambil. Bagi maksud ini, saya mengharapkan agar semua warga kerja KPT bersatu hati dan mempunyai suara yang sama terhadap apa jua tindakan yang dibuat demi memartabatkan pendidikan tinggi negara. Amalan bekerja secara silo hendaklah dielakkan. Semua pihak perlu berurusan secara muafakat, saling bantu-membantu dan bukannya bekerja dalam lohong masing-masing”.

“Ketiga SOLIDARITY pula menekankan kepada keharmonian dalam bahagian, jabatan, universiti awam, dan juga agensi. Bagi mewujudkan suasana ini, keharmonian merupakan satu kemestian dalam organisasi dan wajar untuk disemarakkan lagi. Saya menyeru agar semua warga kerja KPT lebih aktif untuk turut serta dalam apa jua program yang dianjurkan, sama ada di peringkat kementerian, jabatan mahupun agensi. Budaya berpuak-puak atau berpolitik untuk menonjolkan diri juga hendaklah dielakkan”.

“Keempat STRATEGIC merujuk kepada amalan kita dalam melunasi tanggungjawab yang diamanahkan. Ini dapat dizahirkan melalui cara berfikir atau bertindak dan membuat perancangan yang teliti dalam melaksanakan tugas, dengan mengambil kira setiap aspek serta implikasi secara holistik. Justeru, semua maklumat yang disampaikan kepada pemegang taruh dan masyarakat khususnya akan menjadi lebih teratur dan tepat. Pada masa yang sama, risiko penyampaian informasi yang ralat dapat dielakkan”.

“Terakhir STANDARD memfokuskan kepada penghasilan kerja, budaya kerja dan sikap warga yang mementingkan kualiti atau disandarkan kepada satu tanda aras yang tinggi. Hal ini sewajarnya menjadi amalan kerja kita. Melaluinya, dimensi penyampaian perkhidmatan akan dapat dianjak kepada suatu trajektori baharu dan akhirnya menghasilkan perubahan yang berimpak tinggi”.

Pada majlis tersebut, Yayasan Warisan Ummah Iklhas turut menyumbangkan al-quran wakaf ummah kepada semua IPT seluruh negara. Dengan penyerahan ini diharap IPT dapat mewujudkan quran corner di universiti masing masing agar dijadikan bahan rujukan warga kerja, pensyarah dan pelajar pada bila-bila masa.

Siaran penuh boleh layari FB KPT seperti pautan dibawah:
https://fb.watch/360OfVWClu/

Kredit foto: FB Rasmi KPT

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan