NILAI, 1 SEPT 2016 –  Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda sesi akademik 2016/2017 Universiti Sains Islam (USIM) berjalan lancar dengan kehadiran seramai 2067 pelajar membanjiri Dewan Tuanku Canselor dengan disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan merangkap Menteri Mentor USIM bersama Pengurusan Universiti.

Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad mengucapkan tahniah kepada pelajar dan mengalu-alukan kedatangan pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian ke USIM.

Beliau berkata lagi, sebagai Universiti Awam yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, USIM bukan sahaja berupaya melahirkan insan yang berilmu dan berkemahiran bahkan satu usaha untuk mentransformasikan generasi yang berkualiti serta mempunyai jati diri dan kekuatan kerohanian yang kukuh. Tambahan pula, ilmu yang digali daripada Al Quran dan Sunnah apabila digabung dengan ilmu dan teknologi terkini akan membuahkan penemuan baru dan inovasi yang relevan kepada masyarakat, negara dan ummah.

YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dalam amanatnya berkata apa jua keadaan kita pada hari ini hendaklah sematkan rasa bersyukur dengan apa anugerah yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Nikmat Allah S.W.T berikan kepada kita seperti kemudahan untuk menuntut ilmu, persekitaran kondusif dalam pembelajaran dan keamanan dalam kehidupan haruslah dimanfaat sebaik yang mungkin.

Menurut beliau lagi, kerajaan merancang untuk menghantar pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ke USIM memandangkan kursus Sarjana Muda Qiraat akan ditawarkan tahun depan. Ini kerana kerajaan mengambil kira faktor keselamatan dan kos hidup yang tinggi di Mesir.

“Negara memerlukan lebih ramai kepakaran dalam bidang ilmuan dan agama, dan saya mahu galakkan anak-anak muda supaya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi supaya pembangunan negara seimbang”.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar para pelajar USIM dapat mendalami ilmu yang dipelajari di sini dengan sebaiknya dan membawa nama Malaysia dan Islam itu ke peringkat lebih tinggi agar lebih dikenali”, tambah beliau.

Turut meraikan Hari Kebangsaan semua yang berada di Dewan menyanyikan lagu ‘Sehati Sejiwa’ beramai-beramai.

Selepas majlis, turut diadakan perjumpaan YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan bersama-sama anak Negeri Sembilan iaitu seramai 100 lebih pelajar dan mereka menerima sumbangan RM500 daripada kerajaan Negeri.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204