Sepang, 8 Januari 2010 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat kali keduanya telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM 2009 bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA.

Majlis tersebut merupakan malam kemuncak pengiktirafan pencapaian dan sumbangan kepada pelajar USIM diatas kecemerlangan yang telah dicapai. Usaha ini dilihat dapat meningkatkan minat serta menambahkan softskills dikalangan pelajar melalui penglibatan di dalam program-program pembangunan sahsiah dan seterusnya menghargai sumbangan dan ketokohan mereka.

Sebanyak 10 anugerah yang terdiri daripada 15 kategori telah dianugerahkan kepada pelajar/kumpulan/pasukan/badan pelajar yang dicalonkan berdasarkan sistem merit yang dibangunkan. Anugerah –anugerah itu antaranya ialah Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Cemerlang Sukan, Anugerah Cemerlang Seni, Anugerah Cemerlang Kepimpinan, Anugerah Perdana Siswa, Anugerah Khas HEP dan beberapa anugerah lagi.

Antara objektif majlis ini adalah menghargai sumbangan dan pencapaian para pelajar dalam program-program kemahasiswaan di samping menjadi tanda aras kepada penambahbaikan program-program kemahasiswaan. Selain itu menarik minat lebih ramai pelajar untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sahsiah.

Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dalam ucapannya menyatakan, majlis seumpama ini adalah satu budaya yang patut diteruskan bagi meningkatkan motivasi dalam diri pelajar serta meningkatkan semangat berpersatuan di kalangan mereka. Di samping itu, ia juga memperlihatkan bahawa pihak pengurusan universiti menerusi Bahagain HEP sentiasa member sokongan dan menghargai sumbangan para pelajar yang aktif dan berbakat dalam mengendalikan pelbagai program sama ada di peringkat universiti, komuniti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Tambah beliau, “7 aspek Kemahiran Insaniah yang akhirnya akan membentuk para pelajar menjadi seorang individu yang berpersonaliti unggul iaitu komunikasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, pemikiran kritis, nilai dan etika, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan”.

Dalam majlis ini, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang Saudara Mohd Razlan Ahmad dan Saudari Nurul Hayati Chamhuri dari Fakulti Perubatan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Sisiwa serta Anugerah Perdana Siswi. Masing-masing menerima wang tunai RM 300, trofi dan sijil penghargaan. Urusetia Sukan & Rekreasi pula dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Emas yang mengalahkan 20 persatuan pelajar lain serta menerima sebuah notebook, trofi dan sijil penghargaan.

Mantan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas HEP sebagai penghargaan diatas jasa dan bakti beliau dalam memberi sokongan padu kepada kecemerlangan aktiviti pelajar.

Mohd Razlan berkata, “di antara krateria yang membolehkan pelajar menerima anugerah yang dipertandingkan ini ialah aktif dalam ko-kurikulum dan cemerlang dalam akademik. Secara tidak langsung AKSIS telah menjadi batu loncatan untuk pelajar terus meneroka kegemilangan buat universiti”.

“ Saya sudah 4 tahun di USIM dan tahun ini adalah tahun terakhir sebelum saya tamat pengajian ijazah sarjana muda. Jesteru, anugerah ini adalah kemuncak segala jerih payah saya selepas aktif melibatkan diri dalam aktiviti persatuan untuk menaikan nama baik USIM” katanya.

Oleh :
Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058