NILAI, 1 April 2019 – Muhammad Syafik Rahmat, 24, dari Universiti Teknolgi Malaysia (UTM) telah dinobat sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan, menerima Anugerah Menteri Pendidikan di Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2018 yang berlangsung pada 30 Mac bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Majlis yang berlangsung penuh gemilang di USIM telah disempurnakan oleh YB. Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia juga telah menyampaikan sendiri anugerah utama tersebut kepada Muhammad Syafik yang membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil selain turut menerima Anugerah Pemimpin Program Sukan semalam.
Muhammad Syafik yang turut menerima Anugerah Pemimpin Program Sukan diberikan pengiktirafan atas kepemimpinannya semasa menjadi presiden mahasiswa Johor dan penganjuran Global Outreach Programme, GOP@Europe (Parlon’16-London, Paris, Amsterdam, Milan) dan Global Outreach Programme@China. Beliau yang masih menuntut di tahun akhir mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan) pernah memenangi Anugerah Pemimpin Program Sukan Terbaik 2019 di UTM selain merupakan penerima Anugerah Sukarelawan Pembangunan Belia Terbaik dan Anugerah Naib Canselor Tokoh Pembangunan Mahasiswa UTM 2016.
“Kemenangan ini merupakan satu amanah yang cukup besar untuk saya terus memberikan inspirasi kepada mahasiswa lain dan komuniti. Pengiktirafan yang diberikan juga pemangkin semangat untuk saya terus bekerja keras untuk berkhidmat pada masyarakat semampu yang boleh,” ucapnya ketika ditemui.
Beliau turut mengakui ATS telah menghargai usaha dan pengorbanan mahasiswa yang telah berkhidmat kepada komuniti secara tidak langsung penganjurannya boleh memberi motivasi kepada mahasiswa untuk menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sekaligus mampu melahirkan pemimpin mahasiswa yang holistik seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
“Jangan terlalu berkira untuk mengorbankan masa dan tenaga untuk berbakti pada orang lain kerana perkara yang baik itu pasti dibalas dengan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan, yang kadangkala tidak terduga,” ujarnya lagi.
YB. Dr. Maszlee bin Malik pula dalam ucapan perasmian berkata institusi pengajian tinggi (IPT) amat digalakkan menghidupkan budaya berdiskusi dan berdebat secara sihat sebagai medan intelektual terbuka bagi memastikan idea baharu terhasil dan akhirnya hanya idea terbaik mendapat tempat.
“Harapan saya supaya mahasiswa menjadikan platform di majlis anugerah seperti ini sebagai penanda aras supaya hasrat untuk menjadikan “universiti untuk masyarakat” direalisasikan dan juga masyarakat sedar kewujudan universiti yang sentiasa menggerakkan usaha menjalankan aktiviti bagi memberi manfaat kepada masyarakat,” ucapnya lagi.
Pada majlis yang sama, USIM tidak pulang tangan kosong apabila turut membawa pulang dua Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi bagi kategori berpasukan dan individu. Bagi kategori berpasukan diterima oleh pasukan debat Bahasa Arab USIM atas kejayaan memenangi tempat kedua dalam Second UNISI Arabic Debating Championship dan tempat pertama Debat Bahasa Arab, Festival Jazirah Arab. Bagi kategori individu, Muhammad Syafiq Suhaimi menerima anugerah ini atas kejayaan beliau selaku johan Pidato Dwibahasa Ihtifal Asean.
Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi ini diberikan kepada mahasiswa secara individu dan berkumpulan yang mendapat pengiktirafan dan memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, anugerah bagi kategori-kategori lain turut disampaikan oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan dan YBhg Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPM. Berikut merupakan senarai penuh penerima anugerah bagi Anugerah Tokoh Siswa 2018 yang membawa pulang RM1,000, trofi, biasiswa tokoh siswa dan sijil:
1. Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar – Afifah Binti Abdul Shukor (UIAM)
2. Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman – Mohd Aswan Mohd Amin (UNISZA)
3. Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab – Amir Firdaus Eddy Rosyadie (UM)
4. Anugerah Pemimpin Badan Beruniform – Nur Najjah Abd Manas (USM)
5. Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan – Muhammad Ziyad Mohd Yazid (UNISZA)
6. Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan – Jerry Yacob (USM)
7. Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi Dan Inovasi – Muhammad Nurfiqri Mohd Hajar (UNIMAP)
8. Anugerah Pemimpin Program Sukan – Muhammad Syafik Rahmat (UTM)
9. Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam – Nur Adibah Ahmad Zamri (UPSI)
10. Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek – Abdul Kadir Shah Sahibudeen (UM)
11. Anugerah Pemimpin Pelajar Antarabangsa – Aditya Hutama Iswardi (UPM)
12. Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti) – Mohd Haffis Teh (UKM)
13. Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Alam Sekitar) – Tan Chun Tat (UKM)
14. Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka) – Muhammad Irsyad Zaini (UM)
15. Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik – Umission Club (Ketua Pasukan Siti Khadijah Khosim) (UIAM)
Hadir sama di majlis tersebut adalah YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM; YBhg. Prof. Dato’ Tan Sri Dr. Mohd Ismail Abd Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, KPM; serta YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM bersama pengurusan univeristi selaku tuan rumah serta barisan kepimpinan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.
ATS melibatkan penyertaan mahasiswa dari universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti merupakan pengiktirafan KPM kepada mahasiswa yang cemerlang dalam pengajian, aktiviti kesukarelawanan dan pelbagai program diceburi sepanjang berada di kampus.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032