NILAI, 27 Ogos 2020 – Sebagai sebuah universiti Islam, wakaf dan zakat haruslah menjadi sumber kewangan yang perlu diperkasakan. Justeru itu, kerjasama daripada organisasi-organisasi amatlah diperlukan bagi membantu USIM menerokai pelbagai bentuk kerjasama strategik yang dapat diusahakan bersama bagi kelestarian ekonomi ummah.
Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pengurusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atas sumbangan zakat berjumlah Tiga Puluh Ribu pada sesi Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat yang disampaikan oleh Norahim Bin Buang, Pengarah Wilayah Bank Rakyat (Selatan Semenanjung).
Prof Ridza dalam ucapannya berkata, mengimbau kembali pada tahun 2013 dimana wakaf baru bertapak di USIM dan menerima pelantikan Mutawalli dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), kini USIM telah berjaya mewujudkan sebuah Klinik Pakar USIM dan Pusat Hemodialisis hasil kerjasama antara USIM, MAINS dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). MAINS telah menyumbang sebanyak RM1,500,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta Lima Ratus Ribu) bagi membantu kos pengubahsuaian Klinik Pakar USIM dan PNB telah memberi sumbangan bagi tujuan Pusat Hemodialisis sebanyak RM700,000.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Ribu)”.
“Kewujudan Klinik Pakar USIM memberikan impak dan manfaat kerana menawarkan rawatan pakar percuma kepada golongan asnaf. Walaubagaimanapun, USIM masih lagi giat mencari penyumbang bagi membeli lot terakhir Klinik Pakar USIM yang berbaki sebanyak RM874,000.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Tujuh Puluh Empat Ribu). Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha murni ini berterusan dan berjaya untuk membantu lebih ramai lagi golongan yang memerlukan”, jelas Prof Ridza.
USIM juga telah dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) pada 31 Disember 2015. Sehingga kini pencapaian kutipan zakat individu dan korporat semakin meningkat sebagai tanda kepercayaan terhadap USIM dalam mengagihkan dana zakat. Organisasi yang ingin terus cemerlang perlu mempunyai keberanian untuk berubah.
Pusat Wakaf dan Zakat USIM telah mengagihkan sebanyak RM2,276,815.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta Dua Ratus Tujuh Puluh Enam Ribu Lapan Ratus Lima Belas) pada tahun lepas. Pada akhir Jun tahun ini juga, USIM telah berjaya mewujudkan sebuah platfom pendanaan awam (crowdfunding) yang menempatkan projek-projek wakaf, infak dan endowmen universiti bagi memudahkan masyarakat menyumbang. Melalui platfom ini juga, para penyumbang boleh melihat ketelusan pengagihan dan pengurusan dana setiap projek yang dipaparkan.
Turut hadir ke majlis penyerahan ini Prof Madya Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dato Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil Bendahari USIM dan Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat USIM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan