NILAI – Serangan siber bukan lagi perkara baru yang berlaku di serata dunia dan di Malaysia khususnya. Ia bukan saja disasarkan kepada sistem, peranti yang berkepentingan. Turut menjadi mangsa adalah orang awam yang kurang memahami bentuk serangan siber masa kini.

Dalam dunia tanpa sempadan, pengguna komputer adalah sentiasa berhadapan dengan jenayah ini. Seperti penipuan, pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian dan penggodaman maklumat dan sebagainya. Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi utama digunakan untuk tujuan perbankan, media sosial menjadikan informasi dan hebahan boleh dicapai dan diakses dengan mudah di mana sahaja kita berada. Tetapi risiko kecurian maklumat peribadi juga amat tinggi. Justeru itu, sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila menggunakan capaian internet dan membuka sesuatu laman web yang mencurigakan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil dengan inovasi yang diberi nama MoBotDer diilhamkan melalui konsep apoptosis atau dikenali sebagai cell-programmed death. Ia diambil dari konsep Sistem Imunologi Manusia. MoBotDer mampu mengesan dan menjangkakan sebarang serangan siber dengan menggunakan permission (kebenaran) dan Application Programming Interface (API) di dalam telefon pintar. Aplikasi ini mempunyai 745 klasifikasi baharu yang mempunyai kaitan dengan eksploitasi botnet (rangkaian bot ) mudah alih. Ia direka untuk menyemak tahap keselamatan aplikasi mobil berdasarkan 5 ciri pengawasan yang utama iaitu geolokasi (GPS), kamera, audio, SMS dan daftar panggilan. Kebanyakan eksploitasi yang berlaku dilaksanakan melalui lima (5) aspek utama ini.

Prof Madya Dr. Madihah Mohd Saudi selaku Ketua Penyelidik projek ini berkata, matlamat produk ini adalah untuk menjadi satu medium pengesanan dan pengjangkaan terhadap eksploitasi serangan siber kepada pengguna telefon pintar, terutamanya pengguna Android. Masa yang diambil untuk menghasilkan produk ini adalah selama 6 bulan dibawah geran COVID-19 USIM 2020. Namun kajian yang dijalankan untuk menghasilkan model pengesanan dan penjangkaan eksploitasi botnet adalah selama 3 tahun.

“Idea untuk menghasilkan produk ini tercetus apabila kurangnya aplikasi atau perisian yang mampu mengesan eksploitasi serangan siber terhadap telefon pintar. Pelbagai cabaran dalam proses penyediaan projek ini antaranya semasa membuat analisis terhadap kumpulan data aplikasi perisian hasad”.

“Terbaru pada bulan November 2020, pihak Agensi Keselamatan Siber Malaysia(NACSA) telah menghubungi kami bagi tujuan mendapatkan pengesahan berkaitan isu keselamatan MySejahtera. Menggunakan mobotder, pengesahan berkaitan isu keselamatan MySejahtera telah dilaksanakan”, ujar Dr. Madihah.

Harapan beliau agar pengguna di Malaysia memahami dan mempunyai kesedaran keselamatan serangan siber terhadap telefon pintar mereka dan menggunakan inovasi tempatan dalam penyelesaian ancaman siber tersebut.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan