NILAI – Emulsi merupakan merupakan mediator yang mampu mengikat lemak dan air yang mempunyai komponen lipofilik dan hidrofilik supaya kekal stabil dan tidak terpisah.

Baru-baru ini Dr Siti Radhiah Omar Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama pasukan penyelidik USIM telah menghasilkan produk yang diberi nama ‘EMULdurio’.

EMULdurio adalah gam dan Pemekat makanan lestari yang dihasilkan dengan mengekstrak kandungan gam dari biji durian.

Dengan keunikan rasa serta pelbagai pilihan dan baka durian baharu yang diperkenalkan bagi memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara, sudah tentunya ‘raja segala buah’ ini menjadi pilihan utama penggemar buah tempatan tersebut. Walau bagaimanapun, daripada keseluruhan buah durian tersebut, hanya 1/3 daripada buah tersebut yang boleh dimakan (20-25% biji dan 60% kulit durian), manakala selebihnya akan dibuang, dan menjadi sisa pertanian.

Gam yang diekstrak daripada biji durian boleh digunakan sebagai agen pengemulsi dalam produk makanan bagi memberikan hasil tekstur dan kualiti yang lebih baik. Agen pengemulsi ini kebiasannya digunakan dalam pembuatan mentega, marjerin, dressing salad, mayonis dan aiskrim. Ini menjadikan pengemulsi tersebut sebagai pilihan yang sihat untuk digunakan sebagai material makanan kerana datangnya dari sumber alami yang bersih dan menepati konsep halalan thoyyiban.

Menurut Dr Radhiah selaku Ketua Projek, idea tercetusnya produk ini adalah kerana biji durian sering dilihat sebagai bahan buangan yang mana sekiranya dimanfaatkan, berpotensi menjadi salah satu sumber biopolimer semula jadi. Dengan memanfaatkan potensi biji durian ini juga, secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan jumlah sisa buangan makanan, tahap pelepasan karbon disamping menampung kerugian serta meringankan beban peniaga yang terkesan dengan situasi semasa COVID-19 berikutan penurunan pelancong serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Tambah beliau lagi, apa yang menarik dan kelainan produk ini adalah, EMULDurio boleh menjadi pilihan pengemulsi yang halal bagi menggantikan gelatin yang dihasilkan daripada sumber yang tidak halal. Dari segi manfaat kesihatan, biji durian ini bersifat hidrokoloid, justeru, ia dapat digunakan sebagai sumber probiotik bagi membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

“Selain itu juga, produk ini boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif yang lebih murah berbanding guar gum (pengemulsi yang dihasilkan daripada kacang guar) yang begitu popular dalam industri makanan yang dijual dengan harga yang agak mahal”.

“Meskipun tidak banyak hasil kajian yang berkaitan dengan usaha untuk menginovasikan fungsi gam biji durian sebagai sumber hidrokoloid dan biopolimer semula jadi, pihak penyelidik USIM begitu positif bahawa kajian ini dapat menjadi batu loncatan untuk mengembangkan lagi penyelidikan dan inovasi mengenai durian”, jelas Dr Radhiah.

Produk ini telah mendapat pingat Perak pada Pertandingan Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI’21) anjuran Universiti Malaysia Terengganu dan pingat Gangsa pada pertandingan Penang International Invention, Innovation, and Design (PIID) anjuran UITM.

Ahli kumpulan:
Dr Siti Radhiah Binti Omar (Ketua Penyelidik)
Prof Madya Dr Zaiton Binti Hassan
Siti Nor Hikmah Abdul Rashid
Ahmad Naim Bin Rohaizan