NILAI – Madu kelulut tempatan yang selama ini dikenali sebagai makanan sunnah dan produk kesihatan semula jadi kini diteroka sebagai inovasi ubat kumur klinikal berasaskan bahan semula jadi oleh penyelidik Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Produk ini dibangunkan menggunakan madu kelulut asli yang dicampur dengan air bagi menghasilkan kepekatan madu sebanyak 20 peratus, iaitu kepekatan yang dikenal pasti melalui kajian terdahulu berpotensi membunuh kuman.
Ketua penyelidik, Dr. Nur Ayman Abdul Hayei berkata, madu mempunyai ciri anti-inflammatori dan antibakteria yang menjadikannya sesuai diteroka sebagai bahan asas ubat kumur untuk membantu penjagaan kesihatan gusi.
“Ubat kumur ini mengandungi madu kelulut asli yang dicampur dengan air pada kepekatan 20 peratus. Madu mempunyai kesan anti-inflammatori dan antibakteria, menjadikannya sesuai sebagai ubat kumur yang menjaga kesihatan gusi,” katanya.
Menurut beliau, idea menghasilkan produk itu tercetus daripada pemerhatian terhadap kekurangan ubat kumur sedia ada di pasaran yang sebahagiannya mempunyai kesan sampingan kurang baik selain diperbuat daripada bahan kimia.
Dr Ayman berkata lagi, pemilihan madu sebagai bahan inovasi turut selari dengan al-Quran melalui Surah al-Nahl ayat 68 hingga 69 yang menyebut tentang madu sebagai penawar kepada manusia. “Sebagai pakar periodontik, saya melihat kekurangan dari segi ubat kumur sedia ada kerana mempunyai kesan sampingan yang kurang baik. Dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan madu sebagai bahan asas ubat kumur,” tambahnya.
Selain itu, produk ini berpotensi membantu mengawal pembentukan plak gigi kerana plak terbentuk daripada pengumpulan bakteria. Bagaimanapun, beliau menjelaskan kajian lanjut masih diperlukan bagi membuktikan kesan antiplak produk berkenaan secara lebih menyeluruh.
“Plak terbentuk daripada pengumpulan bakteria. Saya percaya bahan yang mempunyai kesan antibakteria mampu mengawal pengumpulan plak. Kajian seterusnya perlu dilakukan bagi membuktikan kesan antiplak,” katanya.
Antara kelebihan utama ubat kumur berasaskan madu kelulut ini ialah ia menggunakan bahan makanan yang selamat untuk ditelan, tidak mengandungi alkohol dan tidak mempunyai kesan sampingan seperti sesetengah ubat kumur biasa di pasaran.
Menurut Dr. Nur Ayman, cabaran utama dalam pembangunan produk ialah keperluan menjalankan kajian klinikal yang memerlukan persediaan rapi, masa dan kewangan mencukupi. Sokongan geran Kementerian Pengajian Tinggi membolehkan kajian dijalankan dengan lebih selesa, termasuk dengan bantuan pegawai penyelidik.
Beliau berkata, inovasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat dari aspek penjagaan kesihatan oral, malah berpotensi mengangkat industri madu kelulut tempatan khususnya dalam kalangan pengusaha luar bandar.
“Madu kelulut banyak dihasilkan di negara tropika termasuk Malaysia. Kajian menunjukkan madu kelulut mempunyai kesan antioksida yang lebih tinggi berbanding madu manuka, tualang dan madu lebah. Ini menunjukkan kelebihan madu tempatan yang patut disebarkan,” katanya.
Setakat ini, pasukan penyelidik sedang menjalankan kajian bagi menghasilkan prototaip dan projek dijangka selesai pada tahun hadapan.
Dr. Nur Ayman berharap inovasi berasaskan madu kelulut itu mendapat sokongan masyarakat apabila bersedia untuk diperkenalkan kepada pengguna kelak.
“Rugi kepada siapa yang tidak mencuba ubat kumur daripada madu asli yang selamat ditelan dan bersifat anti-inflammatory. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda kebesaran Allah bagi orang yang mahu berfikir,” katanya.
Pasukan penyelidik yang terlibat terdiri daripada Dr. Nor Haliza Mat Baharin dan Dr. Muhammad Annurdin dari USIM serta Dr. Nik Madihah dari UKM. Projek pembangunan prototaip terkini turut melibatkan penyelidik bersama iaitu Dr. Nurul Iman, Dr. Syaza Azhari dan pegawai penyelidik, Cik Khadijah Hannah.
