BATANG KALI – Seramai kira-kira 600 penduduk Kampung Orang Asli Hulu Tamu disantuni menerusi Program Gerak Bakti MADANI: Mahasiswa Menyumbang, Masyarakat Berkembang anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai usaha memperkukuh agenda Integrasi Ilmu melalui pendekatan dakwah, kebajikan dan khidmat masyarakat secara langsung di lapangan. Program yang dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menjadi manifestasi komitmen USIM dalam menterjemahkan ilmu, dakwah dan khidmat masyarakat kepada impak sosial yang lebih menyeluruh, khususnya melalui penglibatan mahasiswa secara langsung di lapangan.
Dalam ucapannya, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan merakamkan penghargaan kepada USIM, khususnya Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, atas inisiatif murni menganjurkan program berkenaan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat.
Menurut beliau, inisiatif tersebut selari dengan hasrat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, keprihatinan dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh, termasuk memastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir daripada arus pembangunan ummah dan negara.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj Mohamad Isa berkata, penganjuran program ini bukan sekadar aktiviti turun padang, sebaliknya mencerminkan pendekatan pendidikan berimpak tinggi yang menghubungkan teori akademik, nilai insani dan realiti kehidupan masyarakat. Melalui pendekatan Integrasi Ilmu, mahasiswa diberi ruang untuk menghayati ilmu secara praktikal serta membina keupayaan sebagai agen kesejahteraan sosial.
“Kesemua inisiatif tersebut dirangka berdasarkan keperluan komuniti setempat dengan memberi penekanan kepada aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan rohani, hubungan sosial dan pemerkasaan komuniti. Sumbangan kepada musolla Kampung Orang Asli Hulu Tamu, misalnya, diharap dapat memperkasa fungsi musolla bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat pendidikan agama, pembinaan jati diri dan pengukuhan akidah masyarakat Islam Orang Asli”.
Ujarnya lagi, melalui kursus Da’wah Tatbiqi, USIM memperlihatkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menghubungkan ilmu Naqli dan Aqli dengan realiti masyarakat. Pendedahan lapangan seperti ini penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja menguasai ilmu, tetapi turut memiliki sensitiviti budaya, empati sosial dan keupayaan menyantuni masyarakat secara berhikmah. Lebih penting, program ini menyokong aspirasi USIM dalam melahirkan Muslim Profesional yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kepekaan sosial, nilai ihsan dan kesediaan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Aktiviti utama program tertumpu kepada penyampaian Bakul Rahmah kepada hampir 200 Ketua Isi Rumah masyarakat Orang Asli sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan asas komuniti setempat, di samping membantu meringankan beban sosioekonomi penduduk. Turut diadakan Ziarah Mahabah ke rumah penduduk, Kenduri Rakyat bersama komuniti setempat, sumbangan pengimarahan musolla dan kit solat, serta sumbangan komputer riba kepada seorang pelajar cemerlang Orang Asli.





