NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) menganjurkan Festival Halal dan Pelancongan Islam MADANI selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Mei 2026 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, bagi memperkukuh agenda ekonomi Islam, ekosistem halal dan pelancongan Islam negara.

Festival ini menjadi platform strategik dalam memperluas kesedaran masyarakat terhadap konsep halal sebagai gaya hidup menyeluruh, selain menyokong usaha melahirkan Muslim profesional yang berupaya menerajui industri halal dan pelancongan Islam di peringkat nasional serta global.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Industri halal dan pelancongan Islam mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai pemacu pembangunan negara. Justeru, usaha memartabatkan pelancongan Islam perlu terus diperkukuh agar kekal relevan dengan keperluan semasa dan mampu memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap festival ini dapat diperluaskan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, seiring kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju utama industri halal global.

Festival sulung di Negeri Sembilan ini menghimpunkan pelbagai pengisian ilmiah, interaktif dan komuniti, termasuk seminar halal, wacana, forum ilmiah, program santai bersama masyarakat serta larian halal sebagai penutup.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, festival ini turut memperkenalkan Pelan Strategik (Blueprint) Halal USIM 2026–2035 yang dibangunkan bersama ahli akademik, pemain industri dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Islamic Tourism Centre (ITC).

“Pelan Strategik (Blueprint) Halal USIM 2026 – 2035 dirangka sebagai panduan menyeluruh dalam memperkukuh ekosistem halal negara melalui pendekatan integrasi ilmu yang menggabungkan kepakaran syariah, fatwa, akademik, industri dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau juga, pendekatan itu selari dengan peranan USIM yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam melahirkan Muslim profesional yang kompeten, berintegriti dan mampu menyumbang kepada keperluan industri serta masyarakat.

Penganjuran festival ini diharap memperkukuh kedudukan USIM sebagai institusi yang komited membangunkan ekosistem halal berasaskan ilmu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam yang mampan.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin