NILAI – Kompeni Abu Bakar As-Siddiq dinobatkan sebagai johan keseluruhan Larian Merentas Desa 10 kilometer bersempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) PALAPES USIM Ke-10 yang berlangsung di sekitar kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 18 April 2026 baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diraih selepas kompeni berkenaan berjaya mengumpul mata tertinggi dalam acara merentas desa yang disertai oleh seluruh warga PALAPES USIM melibatkan pegawai, anggota, Pegawai Simpanan Sukarela (SUK) serta Pegawai Kadet dengan kekuatan seramai 190 orang.

Program dimulakan dengan sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM, Lt. Kol. Rozaimi Kamarudin. Para peserta kemudiannya dilepaskan mengikut kategori bagi menempuh laluan sejauh 10 kilometer yang mencabar di sekitar kampus USIM.
Acara ini turut memberi peluang kepada Pegawai Kadet untuk menyumbang mata kepada kompeni masing-masing dalam pertandingan sukan kompeni. Penyertaan menyeluruh daripada warga PALAPES USIM mencerminkan komitmen tinggi, semangat kesepasukan dan kebersamaan dalam menjayakan program tersebut.
Kemuncak acara menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mej. Noor Efendy Hj. Samih.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan mengekalkan tahap kecergasan fizikal yang tinggi bagi menghadapi cabaran latihan bercorak ketenteraan. Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat, ketahanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para Pegawai Kadet sepanjang menjayakan acara tersebut.
Selaras dengan aspirasi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, program ini bukan sahaja menekankan aspek kecergasan fizikal, malah turut membentuk kekuatan dalaman, disiplin, daya juang dan nilai kepimpinan berteraskan keilmuan serta akhlak.
Penganjuran ini turut mencerminkan penghayatan terhadap Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31 iaitu “Kemahuan Untuk Menang”, yang jelas terpancar melalui kesungguhan, ketahanan dan semangat juang tinggi setiap peserta sepanjang acara berlangsung.
Nilai tersebut diharapkan akan terus disemai dan diamalkan oleh seluruh warga PALAPES USIM dalam setiap aspek latihan, kepimpinan dan penugasan pada masa hadapan.

