NILAI – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) telah menganjurkan Syarahan Perdana yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Ridhwan Abd Aziz bertajuk ‘Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli dalam Perbankan dan Kewangan Islam: Perspektif Akademik dan Industri’ bertempat Dewan kuliah Utama pada 7 Mei 2026, semalam.

Dalam syarahan tersebut, beliau menegaskan bahawa integrasi antara ilmu aqli berasaskan pemikiran dan analisis dan ilmu naqli berasaskan wahyu merupakan elemen penting dalam memperkukuh sistem perbankan dan kewangan Islam. Gabungan kedua-dua ilmu ini dilihat mampu melahirkan sistem kewangan Islam yang lebih holistik, mampan serta berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kewangan global.

Prof. Dr. Mohd Ridhwan turut menghuraikan kepentingan tadbir urus kewangan Islam yang baik serta pematuhan Syariah yang ketat bagi mengelakkan risiko ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi kewangan Islam. Menurut beliau, aspek ketelusan, keadilan dan integriti perlu sentiasa dipelihara dalam setiap operasi kewangan Islam.

Selain itu, beliau turut berkongsi perkembangan semasa berkaitan penerapan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam projek agro yang patuh Syariah serta potensi pembangunan Bank Wakaf Islam sebagai instrumen baharu dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat melalui sistem pembiayaan yang lebih lestari.

“Pematuhan Syariah merupakan aspek terpenting dalam sistem kewangan Islam bagi memastikan keadilan, ketelusan dan keyakinan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujar beliau ketika menyampaikan syarahan.

Syarahan tersebut memberi pendedahan menyeluruh  mengenai kepentingan integrasi ilmu dalam membentuk sistem kewangan Islam yang lebih progresif dan relevan dengan keperluan semasa.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar