USIM secara tradisinya sejak tahun 2005, telah menghantar satu kontinjen seramai 161 orang terdiri dari 133 atlit dan 22 pegawai bagi menyertai Kejohanan Sukan Staf Antara IPTA Malaysia, SUKUM KE 38 yang berlangsung di UKM Bangi. 10 pasukan USIM yang menyertai SUKUM KE 38 ialah:

Bolasepak Senior Lelaki
Bolasepak Veteran Lelaki
Tarik Tali
Badminton Campuran
Pingpong Campuran
Bola Tampar Lelaki
Bola Tampar Wanita
Tenpin Bowling Lelaki
Tenpin Bowling Wanita
Olahraga

Majlis Perasmian SUKUM KE 38 telah disempurnakan oleh Tun Dr. Ahmad Sarji, Pro Canselor UKM dengan penuh gemilang, dihadiri oleh Y. Bhg Prof Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM. Ini merupakan julung kalinya Naib Canselor telah turun padang memberikan sokongan kepada pasukan sukan staf. Malah Y.Bhg Dato’ NC sendiri telah mengikuti secara dekat perkembangan SUKUM Ke 38. Beliau telah sekali lagi turun padang pada perlawanan separuh akhir bola tampar lelaki pada 7 Nov 2013, di Pusat Sukan Universiti Malaya. Kontinjen USIM 2013 merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas sokongan Y. Bhg Dato NC.

Pada edisi ke 38 ini, USIM telah berjaya merangkul pingat perak dalam acara tarik tali setelah menewaskan pasukan UKM 2-1 pada perlawanan penentuan tempat kedua pada 7 Nov 2013 di padang UKM Bangi. Sebelum itu pasukan tarik tali USIM telah menewaskan pasukan UPM, UTM dan tewas kepada juara bertahan UM pada perlawanan pertama.

Seperti edisi yang lalu, pasukan bola tampar lelaki menduduki tempat ketiga dan mengekalkan pingat gangsa. Pasukan bola tampar lelaki USIM telah menewaskan Pasukan UTHM, UM dan UPSI pada pusingan pertama. Dan menewaskan pasukan UMP pada pusingan suku akhir. Pada perlawanan separuh akhir, USIM telah tewas 3-1 kepada pasukan Unimap pada perlawanan yang disaksikan sendiri oleh Y.Bhg Dato NC.

Pada tahun ini, pasukan bola sepak Veteran USIM telah disertai sendiri oleh Tuan Pendaftar, En. Muhammad Haizuan Rozali. Beliau telah turun bermain dalam ketiga-tiga perlawanan pusingan awal USIM menentang pasukan UMK, UPM dan UPSI. Namun pasukan bolasepak veteran USIM belum lagi menemui formula kemenangan. Dalam acara-acara lain, pasukan USIM tidak berjaya untuk melepasi pusingan awal. Banyak usaha perlu dijalankan untuk meningkatkan mutu pasukan sukan staf USIM bagi kejohanan yang akan datang. Kajian akan dibuat bagi mengenalpasti langkah dan strategi lagi baik untuk menghadapi SUKUM Ke 39 2014 di kampus UTM Skudai, Johor.

Satu berita yang menceriakan muncul pada penghujung kejohanan kali ini, acara bowling wanita telah mencatat sejarah pada edisi kali ini dengan kejayaan perseorangan tenpin bowling wanita menduduki tangga ke 10 terbaik. Dengan kejayaan ini membolehkan Puan Wan Azura Radzuan, menyertai acara Master pada 9 Nov 2013. Sama-sama kita menunggu keputusan Acara Master Tenpin Bowling Wanita hari ini.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah dijadualkan akan dilangsungkan esok 10 Nov 2013 di Panggung Seni UKM Bangi.

Disediakan oleh,

IDRIS TAKYAN
Ketua Kontinjen USIM