PHNOM PENH, 21 Januari 2020 – Seramai 24 orang pelajar dan seorang pensyarah pengiring, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mengumpul dana bagi pembinaan 6 buah telaga bagi kegunaaan harian masyarakat di wilayah Kampong Chennang di Kemboja baru-baru ini.

Masyarakat di Kampong Chennang menggunakan telaga sepenuhnya sebagai sumber air seharian. Telaga yang dibina menggunakan sumber air asli dari bawah tanah memandangkan di wilayah tersebut tiada lagi sistem bekalan air yang disediakan untuk setiap rumah di sana. Projek pembinaan pam telaga bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian mereka, malah memudahkan proses penanaman, penternakan dan sebagainya di kawasan tersebut.

Wakil penduduk di Kampong Chennang, Mansur Salleh, berkata, delegasi daripada USIM berjaya membawa kegembiraan dan senyuman untuk penduduk Kampong Chennang yang menerima telaga tersebut kerana mereka bergantung sepenuhnya pada sumber air dari telaga untuk meneruskan kehidupan. “Ketika musim panas, telaga sahaja punca sumber air yang boleh digunakan. Ada masa mereka tidak dapat mencari sumber air kerana telaga yang sedia ada kehabisan air ataupun tidak strategik lagi memandangkan air yang diambil daripada sumber asli dari bawah tanah sudah kering.”

Pasukan dari FST ini juga telah mengadakan kenduri rakyat yang juga mendapat sumbangan dari rakyat Malaysia yang prihatin selepas perasmian dan pelancaran keenam-enam telaga tersebut. Kenduri tersebut diadakan bagi mengeratkan lagi kemesraan antara mereka dengan penduduk di Kampong Chennang.

Kumpulan pelajar ini yang menjayakan misi program Global Islamic Student Outreach (GISO) selama lima hari dari 20-24 Januari 2020 di Kemboja telah melaksanakan pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dengan anak-anak di Sekolah Rendah Islam Dubai di Phnom Penh di mana 50 set kebersihan telah disumbangkan olah rakyat Malaysia. Silang ilmu dengan melawat tempat bersejarah di Phnom Penh iaitu Muzium Pembunuhan S21 di kotaraya Phnom Penh, pertukaran ilmu akad jual beli dalam Islam di Russian Market dan pertukaran bahasa dengan orang awam di Central Market. Mereka juga sempat melawat sebuah perkampungan kecil Muslim yang masih tinggal di atas bot di pinggir bandar Phnom Penh dan sumbangan duit telah disampaikan oleh pensyarah pengiring kepada penghulu kampung.

Turut dikunjungi adalah Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Norton University yang merupakan universiti swasta yang pertama yang dibina di Kemboja. Menurut Timbalan Rektor di universiti tersebut, Norton University adalah antara pusat pengajian yang menerima kemasukan pelajar Islam paling ramai. Malahan mereka menjaga kebajikan pelajar-pelajar Muslim mereka dengan menyediakan fasiliti surau yang selesa dan tempat khas untuk rujukan ilmiah tentang Islam di perpustakaan.

Usai lawatan ke Norton University, para pelajar ini juga melakukan kunjungan ke kedutaan Malaysia di Phnom Penh. Kunjungan delegasi USIM yang mewakili Fakulti Sains dan Teknologi ke sana adalah sebahagian daripada pengisian program GISO Kemboja 2020: Nurturing Love, Cambodia Deeds.

Pengarah program GISO Kemboja 2020, Syafiq Iskandar Bin Sham Suri menyatakan bahawa kunjungan kumpulan ini ke Kemboja mengajar mereka erti bersyukur dan memanjangkan tali persaudaraan Islam dengan masyarakat Muslim di Kemboja. Meskipun sukar untuk berkomunikasi dalam bahasa Khmer iaitu bahasa ibunda masyarakat Kemboja, ia tidak melunturkan semangat pelajar untuk menguruskan program bersama masyarakat di sana.

Disediakan oleh:
Aina Nazirah Binti Abdul Ghaffar
Nurul Aisyah Binti Aminurrahman
Mahasiswa Tahun 3 Program Keselamatan & Jaminan Maklumat
Fakulti Sains & Teknologi, USIM

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan