Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertekad untuk mengukuhkan reputasi institusi di peringkat global tanpa melupakan asal-usul penubuhannya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, pada Majlis Amanat beliau yang berlangsung pada 20 Februari 2024 di Dewan Tuanku Canselor berkata USIM bersedia untuk menjadi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terkemuka dalam bidang sains Islam.

Mengangkat tema ‘Mengakar ke Bumi, Memacu Impian’, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menekankan misi untuk menghasilkan individu yang berkualiti, bermaruah, dan berdaya saing tinggi, yang berakar pada nilai-nilai agama dan budaya,

Beliau juga mahu nilai-nilai tersebut terus dihayati oleh komuniti USIM untuk memacu impian umat sejagat.

”Adalah penting bagi setiap individu dalam universiti ini untuk memahami peranan mereka dalam merealisasikan aspirasi dan amanah penubuhan kampus ini. USIM diterajui oleh prinsip pendidikan Islam yang tercermin daripada objektif penubuhan USIM”.

“Pencapaian dan kelestarian USIM bergantung kepada kualiti pelajar dan alumni yang memegang teguh nilai objektif penubuhannya. Dengan nilai teras seperti Amanah, Muafakat, Profesional, Efisien, dan Global, USIM menetapkan standard yang tinggi dalam proses pembelajaran dan penghasilan ilmu,” tambah beliau.

Pada majlis Amanat tersebut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menggariskan Perancangan USIM 2013-2025 melalui tujuh (7) teras utama yang menjadi landasan pembangunan USIM bersandarkan kepada empat (4) fokus utama bagi memacu pelan strategik termasuk penekanan pada keterlihatan institusi, kelestarian kewangan, kebajikan, dan penglibatan komuniti.

Hala tuju tersebut turut dijajarkan kepada lima (5) fokus utama yang memberi penekanan kepada Bakat Terbaik dan Talent Fluidity; Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi yang Kondusif; Pemindahan Ilmu kepada Komuniti; Pengantarabangsaan USIM; dan Kelestarian Penjanaan, Pendanaan dan Penjimatan selaras dengan hala tuju Pendidikan Tinggi yang diamanahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam majlis yang dihadiri seramai hampir 1,900 warga USIM, Naib Canselor turut melancarkan buku Dokumen Pelan Anti Rasuah Organisasi USIM (OACP) serta terjemahan Kitab Matan
Umm Al-Barahin sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuhkan integriti dan kecemerlangan akademik.

 

 

 

 

 

Beliau juga menyempurnakan pelancaran nombor pendaftaran khas USIM bermula dari UQ1 hingga UQ9999 yang dibuka bidaan bermula 20 Februari 2024. Layari https://www.uqplat.com.my/ untuk maklumat lanjut berkaitan nombor plat khas tersebut.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani