Bandar Baru Nilai, 21 September 2010 –  Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan lagi acara yang menjadi tradisi setiap tahun iaitu penganjuran Pesta Konvokesyen kali ke-8 (C-FEST) yang diadakan bermula 20 hingga 26 September di Stadium Tertutup Nilai Negeri Sembilan. Penganjuran kali ini adalah kerjasama Sekretariat Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar USIM dengan Badan-badan Pelajar USIM.

Hampir 20 gerai pameran dan jualan telah dibuka sepanjang pesta konvokesyen ini berlangsung. Sebanyak 14 penyertaan dari agensi kerajaan dan swasta seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Lembaga Tabung Haji Malaysia (LUTH) Johor Corporation, KFC Holdings dan sebagainya.

Menurut Saudara Abdullah Long, selaku Pengarah Program Pesta Konvokesyen kali ke-8, pada tahun ini sekretariat pesta konvokesyen telah mewujudkan gerai-gerai jualan dan juga korporat.

“Kerjasama dengan badan-badan korporat ini adalah sangat penting dalam memastikan penganjuran kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai serta membawa dan meningkatkan imej universiti. Selain itu, pihak tabung Haji juga mengambil kesempatan untuk mengadakan pendaftaran Kelab Taha@U bagi menggalakkan mahasiswa membuka akaun haji mereka”, kata Abdullah.

“Antara aktiviti menarik sepanjang pesta konvokesyen adalah Seminar Gerakan Usahawan, Pertandingan Dikir Barat IPT Malaysia, Forum Perdana, Malam Memperingati Al-Quds, Solat Hajat Perdana, Cabaran Catur Bestari dan sebagainya. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan pesta konvokesyen pada kali ini”, tambah Abdullah lagi.

Pesta Konvokesyen kali ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.

“Tradisi penganjuran pesta konvokesyen ini harus menjadi kebanggaan semua pelajar USIM kerana ia merupakan titik untuk memperingati pelajar lain bahawa satu hari nanti mereka juga akan diraikan Majlis Konvokesyen nanti”, kata beliau.

“Pelajar USIM juga haruslah mempunyai jati diri yang tinggi dan mempunyai kemahiran organisasi yang sekaligus mengikis tanggapan masyarakat dan majikan bahawa graduan Islam mampu dan berupaya menjadi pemimpin yang ulung”, tambah beliau lagi.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumini, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Asin Dollah dan Timbalan Naib Canelor Akademik dan Antarabangsa Y.Bhg. Profesor Musa Ahmad.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Yusrizal Mohd Yunus (06-7988058)