Nilai, 24 MAC 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyedari bahawa peranan universiti masa kini tidak hanya sebagai sebuah institusi ilmu malah menjadi platform kepada pembangunan komuniti daripada pelbagai lapisan dan usia untuk mendapatkan pendidikan sepanjang hayat.

Atas faktor itu, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM mengambil inisiatif menawarkan program Kehidupan di Kampus USIM (Campuslife@USIM) untuk memberi peluang masyarakat luar mendekati USIM secara lebih terbuka.

Dengan cara ini ia dapat membantu merapatkan hubungan di antara komuniti dengan universiti dan membolehkan kerjasama strategik ini dimanfaat secara optimum.

“Campuslife@USIM menjadi sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial USIM di samping mempromosikan USIM sebagai destinasi pelancongan pendidikan. Diharapkan agar Campuslife@USIM dapat membantu memperluaskan konsep pembelajaran sepanjang hayat,” ucap YBhg. Prof Dr Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Campuslife@USIM bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.

Di majlis pelancaran Campuslife@USIM, Sekolah Kebangsaan Kepis (FELDA), Bahau, Negeri Sembilan menjadi sekolah perintis apabila seramai 34 orang pelajar dan 26 orang ibu bapa/waris pelajar hadir dan turut serta.

Mereka di bawa ke Pusat Permata Insan, perpustakaan universiti, program dialog dan juga mendedahkan pelajar dengan program pengajian di fakulti-fakulti semasa lawatan.

Menurut En. Arifin Md Yusof, Guru Besar SK Kepis, beliau sangat teruja dengan suasana persekitaran yang menarik dengan konsep keislaman tersendiri sepanjang berada di USIM.

“Selain program dan modul yang ditawarkan kepada pelajar menarik, saya kagum dengan semangat kerjasama dan keakraban silaturahim yang ditunjukkan. Diharapkan agar USIM terus dikenali dan sentiasa menjadi pilihan bukan sahaja di peringkat negeri, malah peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Pengalaman dua orang pelajar tahun 6 iaitu Siti Aisyah Binti Mohd Radzi dan Muhammad Najmuddin Bin Abdullah ketika ditemubual rata-ratanya menyatakan keterujaan apabila di beri peluang untuk hadir menyertai program ini.

Ini secara tidak langsung dapat menambahkan ilmu tentang bagaimana kehidupan di kampus dan cara pembelajaran di universiti yang mereka sendiri tidak pernah rasai apabila berada di bangku sekolah.

Mengenai Campuslife@USIM

Campuslife@USIM dibuka kepada pelajar sekolah dan orang awam di mana terdapat 17 modul yang ditawarkan seperti yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) iaitu Program Science and Al Quran Adventure, Kelas Bakeri Bakefast, Kelas Photoshop, Kem Robotik, Kelas Penyuntingan Video dan juga Kelas ICT KLIK. Manakala Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) pula menawarkan program Celik Bahasa Arab dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pula menyediakan Slot Program Rahsia Usahawan Soleh Abdul Rahman Bin Auf (RUSARBA).

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) pula membawakan Program Talaqqi Bersanad dan Tadabbur – Surah Al-Fatihah dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) pula menawarkan empat program iaitu Eksplorasi Astrofiqh, Klinik Asas Undang-undang Pengguna, Klinik Undang-undang Pengguna Lanjutan dan juga Halal Summer School. Manakala Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPG) pula membawakan Program Eksplorasi Perubatan dan Pergigian.

Pusat Sukan  USIM juga tidak ketinggalan menawarkan program Hit the Bull Eye iaitu program belajar memanah dan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) pula memberi peluang kepada pelajar bagi mengikuti Program Eksplorasi Badan Beruniform.

 

Disediakan oleh:

En Mohd Asri Husain

 

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204