NILAI, 22 MAC 2015 – Seramai 70 orang ahli Kelab Enactus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terlibat dalam satu projek keusahawanan sosial bagi membantu golongan kelainan upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Labu, Nilai. Projek ini diberi nama Claridae Project atau lebih dikenali sebagai Projek Penternakan Ikan Keli.

Tujuan utama projek ini dilaksanakan adalah untuk membantu  golongan OKU menjana pendapatan tambahan seterusnya terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan. Projek ini merupakan satu hasil kerjasama dengan Jabatan Perikanan Daerah Seremban.

Secara umumnya, projek ini bermula dengan pencarian golongan OKU oleh Kelab ENACTUS di Kampung Kondok, Nilai yang mampu memberi kerjasama dan komitmen dalam projek ini. Sebanyak 10 nama telah disenarai pendek dan akan dibantu secara berkala. Seterusnya, 15 orang ahli Sekretariat bersama-sama dengan penyelaras program, Puan Siti Nurulhuda Nordin telah dihantar untuk menyertai Bengkel Penternakan Keli di Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Jelebu, Negeri Sembilan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah institut tersebut iaitu Tn. Haji Suhairi. Matlamat bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pengenalan dan pendedahan tentang kaedah pengurusan ikan keli yang berkesan kepada semua ahli.

Sebelum itu, seramai 10 orang ahli Claridae Project telah ke Kampung Kondok, Nilai untuk membersihkan tapak penternakan ikan keli serta menyediakan peralatan yang diperlukan di rumah OKU tersebut. Dua orang OKU pertama dilipih untuk terlibat ialah En. Ngadiman Suradi dan Puan Noor Munirah Mahmod. Peralatan penternakan seperti dua buah tangki, 500 ekor anak ikan keli untuk setiap tangki, paip PVC, pam air, pasir sungai, baja kompos dan pokok kiambang turut dibekalkan kepada OKU tersebut. Sebanyak RM 2,538.00 kos penyediaan mesin dan peralatan lain seperti tangki ikan, jaring ikan, dan paip PVC serta kos bahan mentah seperti benih ikan dan pallet sebanyak RM780.00 turut disumbangkan untuk fasa pertama projek ini.

Projek ini bermula dengan penternakan ikan keli dan sehingga ikan keli membesar pada tahap yang ditentukan iaitu kira-kira 50cm. Kemudian projek ini akan diteruskan sehingga ikan keli tersebut sesuai untuk dipasarkan. Sekretariat Enactus membantu dalam memberikan latihan dan pemasaran produk tersebut di mana hasil jualan yang diperolehi akan digunakan sebagai modal pusingan bagi penternakan seterusnya dan baki sebagai wang kelangsungan hidup mereka.

Disediakan oleh:

Nur Raishah Abdul Rashid, AJK Perhubungan Awam

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204