Bar tenaga Crushy (Crushy Energy Bar) ialah satu inovasi makanan yang menggunakan bahan-bahan semula jadi dari sumber tenaga yang tinggi seperti kurma, kismis, dan buah tin serta mengandungi bahan tenusu dan kekacang. Produk ini tidak mengandungi bahan pengawet atau penambah makanan tiruan dicampur dalam satu bar dengan menggabungkan kesemua bahan-bahan yang terbukti mengandungi khasiat yang tersendiri .
Ia sangat sesuai untuk kanak-kanak, mereka yang sibuk dengan rutin harian seperti pelajar, pekerja yang kesuntukan masa dan juga mereka yang sedang diet kerana ia dapat memberikan tenaga dan khasiat kepada pengguna dalam bentuk yang lebih mudah dan senang disimpan. Penghasilan produk ini mengambil masa selama hampir 4 bulan bermula dari perbincangan awal produk sehingga analisa sensori dan analisis penerimaan pengguna terhadap produk kami.
Produk Crushy Energy Bar ini telah memenangi tempat pertama semasa pertandingan Inovasi pelajar (i-Reka) 2014 di Universiti Sains Islam Malaysia di dalam kategori Food & Halal Compliance. Selain itu, Crushy Energy Bar juga telah memperoleh pingat emas semasa di Novel Research Innovation Competition (NRIC) 2014 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang di mana ia juga telah memperoleh anugerah khas iaitu Anugerah Social Impact Policy.
Matlamat penghasilan produk ini adalah untuk memberikan pilihan kepada pembeli untuk menikmati bar tenaga yang tidak mempunyai kandungan gula tambahan atau bahan pengawet serta perasa. Kandungan tenaga dan rasa manis adalah berdasarkan kandungan produk ini semata-mata berbanding snack bar yg berada di pasaran yg mengandungi banyak gula tambahan.
Hasil inovasi dari kumpulan Authen6 bermatlamat mengetengahkan inovasi makanan berkhasiat bertemakan makanan sunnah serta menggalakkan masyarakat untuk mengambil makanan tersebut sebagai makanan harian. Turut berharap agar produk ini dapat menembusi pasaran di dalam dan luar negara serta menggalakkan amalan pemakanan sunnah dan sihat ke tahap yang lebih tinggi dalam masyarakat amnya.
Pensyarah yang terlibat secara langsung dalam projek ini, Prof Madya Dr Alina Abd Rahim telah memberikan bimbingan dalam pembangunan makanan yang menepati citarasa dan juga penyelesaian kepada masalah harian. Beliau juga memberi maklumbalas dalam setiap perubahan dalam pembangunan produk serta memberi peluang kepada kumpulan Authen6 untuk mengembangkan idea sebanyak yang mungkin. Selain itu, Prof Madya Dr Norita juga turut membantu dalam penyelidikan yang lebih mendalam berkaitan bahan-bahan utama Crushy Energy Bar.
Kejayaan NRIC membawa mereka ke British Invention Show 2014 yang diadakan pada 22-25 Oktober. Hasil kemenangan dan kejayaan ini menjadi motivasi untuk terus mengharumkan nama universiti serta menyumbang bakti kepada agama, bangsa, dan negara secara amnya. Selain harapan besar untuk membawa produk inovasi menembusi pasaran di dalam dan luar negara, keupayaan pelajar ini diharapkan memberi inspirasi dan galakan kepada pelajar lain untuk mencipta kejayaan seumpamanya.
Kumpulan Authen6 (Authensix)
Program: Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi Makanan
Pensyarah Bimbingan : Prof Madya Dr Alina Abdul Rahim
Muzammeer bin Mansor (Ketua Kumpulan)
Nor Alia Bt Dollah
Nur Hanisah Bt Hamidin
Nur Imanina bt Abdullah Thaidi
Nadia bt Abdul Salam
Sarah Alia Bt Shahrim
Nor Liyana Bt Nordin