PEKAN – Program Khidmat Sosial Orang Asli yang disertai 82 Pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) nyata tidak sia-sia dan memberi kesan apabila empat orang masyarakat Orang Asli di Kg Meranti, Pekan, Pahang berjaya memeluk Islam.

Program yang disertai daripada empat gabungan program FKP iaitu Da’wah dan Pengurusan Islam, Akidah dan Pengajian Agama, Komunikasi dan Kaunseling nyata membuahkan hasil apabila empat masyarakat Orang Asli berbangsa Jakun di sana memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka setelah melihat pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan imej Islam yang ditampilkan para pelajar bersama keluarga angkat masing-masing.

Menurut Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani berkata, segala usaha dan peluang yang diberikan kepada mereka (pelajar) telah digunakan sepenuhnya dan saya amat bersyukur serta berbangga dengan pencapaian murni mereka ini.

“Saya harapkan mereka terus berusaha menjalankan misi da’wah Islam ini dan berterusan menyumbangkan ilmu agama yang mereka pelajari di Universiti untuk terus berbakti kepada masyarakat terutama kepada saudara baru,” katanya lagi.

Sementara itu Nurul Jannah Mohamed Nawi, 21, bersyukur kerana ibu dan ayah angkatnya memeluk Islam walaupun mereka berdua sudah tua dan uzur.

“Semasa bersama mereka saya tidak pernah bercerita mengenai kesucian agama Islam secara terang-terangan kerana bimbang mereka bosan dan terganggu. Sebaliknya saya dan dua adik beradik angkat yang lain bercerita mengenai kebesaran alam, kejadian langit dan bumi ini dengan penuh maksud yang tersirat dan mudah difahami. Sesungguhnya pengalaman berharga ini pasti tidak saya lupakan sepanjang hidup saya,” katanya sayu tatkala mengimbas kembali detik yang berharga itu.

Lebih terharu lagi apabila saya sendiri yang mengajar ibu angkat saya (Amatullah binti Abdullah) mengucapkan syahadah sejurus selepas beliau bersetuju untuk memeluk Islam kerana saya katakan padanya yang saya mahu dia berada satu aqidah dengan saya dan meninggal dalam keadaan beriman kepada Allah, katanya lagi.

Manakala ayah angkatnya iaitu Abdullah Hakimi bin Abdullah telah diislamkan dengan bantuan Ustaz Zakaria Junin yang menjadi Penggerak Da’wah di sana.

Menurutnya lagi, sepanjang di sana juga saya menjalankan kewajipan sebagai seorang anak di mana saya turut menyediakan makanan dan minuman mereka, memandikan ibu yang sudah uzur dan membersihkan rumah mereka dan kawasan sekitarnya.

Menurut Ustaz Zakaria, segala urusan pendaftaran dan bantuan sumbangan kepada mereka yang baru memeluk agama Islam akan diuruskan oleh Ustaz Awing Abdul Rani, Penggerak Da’wah Pejabat Agama Daerah Pekan.

Mereka yang telah memeluk Islam ialah Ming bin Nonong (Abdullah Hakimi bin Abdullah), Kechil bin Jana (Amatullah binti Abdullah), Din bin Omar (Muhamad Deen bin Omar) dan Zubaidah a/p Cik (Zubaidah Binti Abdullah).

Program dari 7 April hingga 12 April ini mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) merupakan program khidmat sosial Orang Asli kali kedua dianjurkan oleh FKP dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM.

Oleh : Fauziah Hassan