NILAI, 16 MAC 2016 – Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menerima watikah Komandan Kor Suksis Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) USIM bagi mengetuai unit badan beruniform tersebut yang telah disampaikan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof bertempat di Dewan Kuliah Pusat.

Penubuhan SUKSIS di USIM kini genap 10 tahun tekad menerapkan nilai kepolisan yang tinggi di kalangan ahli supaya mampu mampu mempamerkan keterampilan dan ketahanan mental serta disiplin yang tinggi dalam menangani cabaran.

“Pencapaian cemerlang Kor Suksis jelas apabila telah melahirkan tujuh batch Inspektor Sukarelawan Polis sejak ia ditubuhkan. Seperti tahun lepas seramai 56 pelatih berjaya ditauliahkan, saya harapkan tahun ini akan ada lebih lagi ahli yang akan ditauliahkan di Universiti Putra Malaysia nanti. Besar juga harapan saya untuk melihat Kor Suksis terus cemerlang,” ucap Dato’ Hassan.

“Di USIM, unit badan beruniform ini turut terlibat kerja sukarelawan yang berkawal di sekitar kampus dan perumahan sekitar USIM. Melalui kaedah ini pelajar dapat menjalankan tugas secara praktikal bagi menerapkan kualiti cemerlang sebagai sebuah badan beruniform universiti pada masa yang sama memastikan keselamatan pelajar dan penduduk setempat terjamin,” tambahnya.

Majlis penyampaian watikah dihadiri hampir semua ahli unit badan beruniform USIM iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Bulan Sabit Merah (BSM), Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan SUKSIS.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan USIM akan bekerjasama merangka modul khas bagi menangani jenayah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah yang akan dimulakan melalui sesi menandatangani memorandum persefahaman kelak.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204