NILAI, 6 Ogos 2014 – Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) kini menjadi Karyawan Tamu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Komunikasi. Pengalaman beliau dalam bidang komunikasi akan dimanfaatkan oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM apabila dilantik berkuat kuasa 4 Ogos 2014 untuk tempoh setahun.

Pelantikan beliau sebagai Karyawan Tamu ini penting kerana ia membantu Program Komunikasi dan USIM amnya untuk memperoleh input berkenaan perkembangan Kewartawanan di Malaysia khususnya yang melibatkan penggunaan media baharu sebagai landasan utama saluran informasi masa kini.

Sebagai seorang bekas pengamal media yang berpengalaman luas dalam bidang ini, Datuk Chamil akan terlibat secara langsung untuk melihat kaedah dalam melaksanakan integrasi ilmu NaqlidanAqli khususnya Program Sarjana Muda Komunikasi yang ditawarkan oleh FKP kini melalui aktiviti-aktiviti semakan program akademik sedia ada, penyelidikan, seminar dan bengkel yang berkaitan.

Datuk Chamil mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman luas dalam penulisan, pelaporan dan penerbitan berita serta pengurusan organisasi media cetak dan elektronik. Antara latar belakang akademiknya adalah menjadi pelajar London School of Jurnalism, London (1976-1977), Sarjana Muda dari University of Westminister, London (1978-1982), Master dariUniversity of Leicister, England (1982-1983) dan mendapat tajaan British Council untuk mengikuti bidang pengajian hubungan antarabangsa di University of East Anglia, England (1989-1990).

Memulakan langkah awal sebagai wartawan kadet di Utusan Malaysia 1971), beliau mula menerokai dunia kewartawanan secara meluas antaranya sebagai pembantu program di BBC World Services London (1976-1982); wartawan dan penulis rencana pengarang Utusan Malaysia; Ketua Majalah terbitan Kumpulan Utusan (1993-1998); dan menjawat jawatan Pengurus Besar Kanan dan Ketua EditorBilik Berita TV3 (1999-2007).

Beliau turut aktif bersama Universiti apabila pernah menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulan Pinang dan di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Kini beliau menjadi tenaga pengajar kursus-kursus profesional di MPI. Setakat ini, Datuk Chamil Wariya telah menghasilkan 5 buah buku berkaitan dunia kewartawanan berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman beliau selama 38 tahun.

Beliau akan terlibat secara langsung dalam penyelidikan berkaitan model dan pembangunan Kewartawanan Islam di Malaysia melalui penglibatan bersama tenaga akademik dan pelajar-pelajar pasca siswazah di FKP. Penglibatan beliau amat penting dalam melahirkan generasi pengamal media yang lebih beretika dan menerapkan nilai-nilai murni melalui medium media baharu sebagai langkah utama pembentukan modal insan yang berkualiti.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204