NILAI – Pendekatan kepimpinan negara turun padang bagi menyelami dan mendekati rakyat merupakan salah satu platfom yang berkesan bagi melihat dan mendengar sendiri sebarang masalah dan pandangan yang diutarakan oleh mereka.

Sehubungan itu, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Mentor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama-sama pelajar USIM bagi mendekati mereka secara lebih dekat dalam program Dialog Mahabbah.

Program yang memfokuskan para pelajar sebagai khalayak utama dianjurkan dengan kerjasama Bahagaian Hal Ehwal Pelajar USIM ini  telah diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3 turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin; Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah serta barisan kepimpinan utama Universiti yang lain.

YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom dalam awal ucapannya menerangkan mengenai keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan yang amat besar bagi sektor pendidikan negara saban tahun seperti dalam Bajet 2013 baru-baru ini. Pembangunan  pengajian tinggi sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan bagi menyediakan akses pendidikan tinggi yang luas, kondusif dan efisien kepada rakyat. Kebajikan para pelajar juga sentiasa diberi keutamaan seperti pemberian biasiswa, baucer buku dan terbaru Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia.

Selain itu, beliau turut menyentuh pelbagai isu-isu kontemporari berkaitan umat Islam kini dan  masyarakat global yang menarik perhatian hadirin yang hadir. Dalam sesi dialog santai yang diadakan bersama para pelajar selepas itu menjadi ruang terbaik digunakan para pelajar untuk berkomunikasi secara terus dengan beliau.

Pelbagai soalan dibangkitkan oleh para pelajar menyentuh isu kebajikan pelajar, kemudahan kampus, pembiayaan pendidikan, peluang kerjaya selepas tamat pengajian serta pembangunan USIM di ulas dengan baik oleh YB Menteri. Selepas berakhir sesi Dialog Mahabbah, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom berbesar hati menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau Kolej Kediaman Pertama USIM dan  seterusnya mengimamkan Solat Jumaat berjemaah bersama-sama warga USIM.