NILAI, 15 FEBRUARI 2016 – Lebih dari lima menu berbeza bakal dinikmati setiap hari oleh warga USIM selepas Pelancaran Menu Ihtimam oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad bertempat di Kafeteria Bangunan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Majlis pelancaran dihadiri lebih dari 50 orang dari kalangan pelajar dan kakitangan memperlihatkan satu usaha wajar oleh Pengurusan Universiti menangani isu hangat di laman sosial dan akhbar mengenai aduan segelintir pelajar yang terpaksa berlapar akibat masalah kewangan.
Pemilik D’Sara Katering (Kafe Canselori USIM), Pn. Anisah Ibrahim menyatakan harga yang ditetapkan adalah RM 1.50 bagi menu sarapan pagi manakala hanya RM 3 bagi menu makan tengahari tidak dapat di mana-mana kini. Menu ihtimam ini boleh dinikmati warga USIM di Kafeteria Bangunan Canselori, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan juga Perpustakaan USIM.
“Kami tekankan prinsip berniaga sambil beramal. Melalui menu ihtimam atau menu bajet ini kami menawarkan harga paling murah dan berpatutan kepada pelanggan. Apa yang lebih penting adalah kualiti rasa memenuhi citarasa pelanggan,” ujar Pn Anisah.
Sementara itu, Dato’ Musa berkata menu ihtimam sebagai satu inisiatif Pengurusan Universiti untuk menjaga kebajikan pelajar USIM setelah kata putus dicapai bahawa perlunya ada tindakan yang praktikal dan lestari dan cara ini antara yang wajar dilaksanakan.
“Adalah diharapkan dengan adanya pelan tindakan seperti ini tiada lagi kedengaran isu pelajar lapar atau tiada wang kerana inisiatif ini menunjukkan keprihatinan universiti tanpa membezakan pelajar berkemampuan atau tidak malahan kemudahan ini terbuka juga kepada kakitangan USIM untuk menikmati kemudahan yang disediakan,” ujar Naib Canselor.
Di dalam ucapannya, Dato’ Musa turut menggalakkan pelajar bekerja dalam kampus secara separuh masa bagi meningkatkan softskill pada masa yang sama menerima imbuhan dari tugasan tersebut. Pelajar juga boleh melibatkan diri dengan aktiviti keusahawanan sebagai satu cara mengasah bakat dalam pengurusan kewangan dan diri.
Bagi Imran Razalle, YDP Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, pelancaran menu ihtimam merupakan usaha yang baik daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama D’Sara Katering.
“Ini membuktikan keprihatinan Pengurusan Universiti terhadap kebajikan pelajar serta kesusahan yang dihadapi pelajar. MPP USIM mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak badan korporat, orang persendirian mahupun jabatan yang sudi menyumbang untuk kebajikan mahasiswa dari sudut material mahupun kewangan. Dengan cara ini, ia mampu meringankan beban hidup pelajar dalam era serba mencengkam ini,” ulasnya.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor HEPA, Y.Bhg Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Ketua Jabatan, barisan MPP, International Student Society (ISS) dan kakitangan USIM.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204