NILAI – Menjadi graduan pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menerima Sijil Profesional Setiausaha dan Tadbir Urus Korporat daripada Institut Setiausaha Bertauliah dan Pentadbir Malaysia (MAICSA) merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi Abdul Muiz Abdul Wahab, 22.
Beliau merupakan salah seorang daripada 382 graduan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) yang diraikan semalam bukan sahaja menggenggam segulung ijazah akan tetapi turut menerima pengiktirafan dan tauliah rasmi sebagai salah seorang badan pengamal.
Abdul Muiz yang berasal dari Kuala Lumpur ini telah berjaya membuktikan bahawa pelajar Ijazah Sarjana Muda mampu lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan dan Penilaian Profesional yang dikendalikan oleh Institut Tadbir Urus Bertauliah Malaysia (CGI MALAYSIA). Kini beliau sedang bekerja sebagai setiausaha korporat Syarikat Petronas di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Marfuuah Mohd Hassan, 23, salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian juga dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) turut mengharumkan nama USIM ketika beliau menerima MIA National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023 pada 12 Jun 2024.
Pengiktirafan ini diberikan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Malaysian Institute of Accountants International Conference (MIAC) 2024. Anugerah tersebut mengiktiraf pelajar perakaunan terbaik di peringkat kebangsaan, membuktikan kemampuan Marfuuah dalam bidang yang diceburinya.
Gadis kelahiran Manir, Kuala Terengganu, Terengganu ini sedang melanjutkan pengajian dalam program ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) di bawah tajaan MyPAC-Bank Islam.
“Saya berharap dapat mendalami bidang perakaunan dengan lebih mendalam dan mengaplikasikan ilmu ini dalam industri. Selain itu, saya juga ingin menjadi motivasi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk terus menuntut ilmu dan memanfaatkan pengetahuan dalam kehidupan” jelasnya yang bercita-cita ingin menjadi seorang akauntan professional kelak.