KLANG, 21 Mei 2016  – Seramai 10 orang Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Duta Jauhar 3.0 yang diketuai oleh Muhammad Sollehin Md Satar di bawah seliaan Dr Fuadah Johari, telah menghadirkan diri ke bengkel penanaman dan penjagaan cendawan bersama Triple AAA Enterprise (TAE) bertempat di Klang, Selangor.

Bengkel ini bertujuan untuk memberi kemahiran dan pendedahan mengenai operasi sebenar dalam proses penanaman cendawan sebelum ianya dilaksanakan di dalam projek Duta Jauhar 3.0 USIM. Langkah-langkah penanaman cendawan diterangkan secara terperinci oleh En. Shahrul Azmil bin Hj. Mahali selaku pengurus (TAE). Proses penanaman cendawan ini bermula dengan kaedah membuat bongkah, menyuntik biji benih, menyemai, pembersihan cendawan sehingga ke proses terakhir iaitu proses pembungkusan.

Bengkel penanaman cendawan ini adalah kemahiran asas yang perlu dipelajari dan dilaksanakan oleh peserta program Duta Jauhar 3.0 USIM.  Projek Duta Jauhar ini dirangka akan dilaksanakan di Kampung Parit Pulai Batu Pahat, Johor adalah bertemakan cendawan dalam merealisasikan misi “enhancing the potential of disable people”. Projek cendawan ini adalah melibatkan peserta dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) terpilih dalam usaha untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan mereka dan dalam masa yang sama memberikan sumber pendapatan baru kepada golongan ini.

Tiga plan strategi telah dirancang yang turut melibatkan beberapa agensi kerajaan negeri Johor. Antara aktivitinya ialah membimbing OKU menanam cendawan, memasarkan hasil produk cendawan dan adaptasi teknologi yang akan dihasilkan oleh USIM di dalam menghasilkan cendawan yang berinovasi terkini. Dengan aspirasi Mahasiswa pencetus transformasi, diharapkan kemahiran asas penanaman cendawan ini boleh direalisasikan dan membuahkan hasil dalam meningkatkan potensi golongan kelainan upaya dalam sektor ekonomi, kemasyarakatan dan pertanian.

Disediakan oleh:

Nur Amalina Mohd Misman

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204