NILAI, 12 Oktober 2018- Bagi meneruskan delegasi Duta Jauhar sebelum ini, Duta Jauhar USIM 5.0 kali ini tampil dengan produk baharu yang diberi nama “Nugget Pisang”. Produk Duta Jauhar USIM 5.O kali ini telah mencipta inovasi melalui buah-buahan tempatan iaitu pisang. Produk ini juga merupakan produk pertama di Malaysia yang memperkenalkan nugget dari buah pisang. Idea asal yang dicetuskan oleh pengarah projek sendiri iaitu, Adlin Hayat binti Mustafa dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Program Bahasa Arab dan Komunikasi.
”Memilih nugget kerana kebanyakan kanak-kanak pada hari ini gemar memakan makanan segera seperti nugget ayam, bebola ikan, burger dan sebagainya. Kandungan kalori yang tinggi dimana tidak baik diambil secara berlebihan oleh kanak-kanak mencetuskan idea untuk menginovasikan produk nugget dari buah pisang ini”.
”Kebanyakan orang kampung senang untuk menanam pokok pisang ini, juga selain pembaziran sekiranya lambakan buah, ia juga boleh dijadikan snek atau nugget untuk jualan bagi tambah pendapatan sampingan”.
”Pisang mudah didapati dan harga juga yang berpatutan, selain sebagai pencuci mulut ia juga sesuai untuk dibuat kuih muih, kek dan sebagainya. Pisang yang digunakan dalam nugget ini adalah 100% dari buah-buahan asli. Kandungan nutrisi seperti kalium dan juga asid folat sangat sesuai untuk ibu mengandung. Selain itu pisang juga kaya dengan kandungan vitamin dan mineralnya yang penting seperti vitamin C, vitamin B Kompleks, kalium, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium”, tambah Adlin.
Dengan adanya projek sebegini ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasaran kami. Projek ini diusahakan oleh golongan sasaran, kumpulan duta jauhar pula akan bantu dari segi pemasaran produk. Golongan sasaran kami terdiri daripada warga ibu tunggal seramai 6 orang, dan mereka tinggal di kawasan kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam, Muar Johor. Kami berkeyakinan dengan adanya projek sebegini akan meningkatkan kos sara hidup mereka serta membantu menjadikan kehidupan mereka lebih baik pada masa akan datang.
Disediakan oleh:
Nurul Nabilah Binti Johari
Unit Media Dan Publisiti
Duta Jauhar Usim 5.0