LABIS, 4 OKT 2015 – Bertemakan “Parallax Your Eyes”, kumpulan Duta Jauhar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)yang terdiri dari 15 ahli dari pelbagai fakulti giat menjalankan khidmat komuniti bersama masyarakat Orang Asli Segamat Kecil, Labis melalui penganjuran program Development Education of Orang Asli (DE’ASLI) dan Kembara Bahasa.

Program yang berlangsung selama 3 hari bermula 2 hingga 4 Oktober 2015 turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan Pelajaran Johor.

Objektif utama penganjurannya adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat orang asli terhadap pentingnya pembelajaran kepada anak-anak mereka, selain memberi motivasi dan menaikkan semangat di kalangan mereka untuk bersaing dengan mesyarakat bandar yang jauh lebih maju dari pelbagai aspek.

Selain itu, kumpulan Duta Jauhar USIM juga turut membantu anak-anak orang asli dari segi pendidikan iaitu dengan membangunkan modul “Fun Learning” iaitu dengan kaedah pembelajaran pelbagai dengan lebih santai, lebih menarik serta penuh pengetahuan antaranya permainan matematik, kelas Bahasa arab, home tutor, dan mengadakan sudut pembelajaran.

Menurut Pengarah Projek Muhamad Fadhil Kamaruddin, Development Education of Orang Asli (DE’ Asli) merupakan satu projek yang menaiktaraf pendidikan orang asli dengan menggunakan modul Enjoy Fun Learning (EFL).  Modul ini mengajar mereka cara-cara belajar dengan lebih kreatif dan efektif. Program ini dijalankan secara berkala dari semasa ke semasa bermula daripada bulan Julai sehingga November 2015.

“Bagi program kali ini, kumpulan Duta Jauhar USIM membuat jalinan kerjasama jangka panjang bersama pihak-pihak luar dan agensi-agensi kerajaan antara bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menerbitkan sebuah buku mengenai adat resam masyarakat kaum Jakun, dan buku ini dirancang untuk diedarkan ke seluruh Universiti Awam seluruh Malaysia sebagai buku rujukan utama bagi mengetahui kehidupan masyarakat orang asli di Malaysia”.

“Begitu juga mengenai kerjasama bersama yayasan daerah segamat dalam mewujudkan pelaksana khusus iaitu sukarelawan-sukarelawan yang akan memastikan kelangsungan projek ini dalam membangunkan pendidikan masyarakat orang asli khasnya di Kampung Orang Asli Segamat Kecil”, tambah Fadhil.

Turut hadir di majlis yang sama, Yang Berhormat Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Labis, Yang Berhormat Encik Azahar Bin Haji Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tenang, Profesor Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM bagi bersama-sama melancarkan konvoi Kembara Bahasa Peringkat Negeri Johor anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Sebaik sahaja simbolik pelepasan Kembara Bahasa tamat, para tetamu kehormat dibawa melawat Rumah Tok Antah iaitu sebuah rumah adat orang asli yang dibina secara bergotong-royong oleh masyarakat orang asli di kampung tersebut bagi mempamerkan keunikan seni bina dan peralatan hasil kerja tangan mereka. Selain turut diadakan pertunjukan demonstrasi adat orang asli iaitu Adat Tangkap Basah dan Adat Cucur Langi.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204