NILAI, 11 JUN 2015 – Seramai 100 peserta menjayakan Kongres Pendidikan Integrasi Naqli dan Aqli (ECNA 2015) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjuran Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Pusat Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran (PIPP) bertempat di Dewan Kuliah Utama.

Penganjuran kongres ini adalah selaras dengan matlamat strategik USIM ke arah pengukuhan agenda Integrasi ilmu Naqli dan Aqli agar ianya dapat memperkasakan program integrasi akademik di USIM ke arah menjadi pusat rujukan bagi peringkat serantau 2016 dan global 2025.

Kongres ini membentang 40 kertas kerja dengan membincangkan tiga kluster iaitu pengajian Islam, Sains Sosial dan Sains dan menghimpunkan tokoh-tokoh pemikir dan warga akademik USIM dalam melaksanakan integrasi Naqli dan Aqli untuk menghasilkan model pelaksanaan yang akan dilaksanakan di USIM.

Fasa kedua pelaksanaan integrasi ilmu Naqli dan Aqli memfokuskan kepada menterjemahkan konsep Naqli Aqli dari fakulti masing-masing bagi membolehkan pelajar menguasai ilmu moden di samping mendapatkan suntikan roh dan nilai-nilai murni berlandaskan prinsip Islam. Bagi meningkatkan kualiti pengajran dan pembelajaran, setiap kakitangan akademik USIM disaran melaksanakan pendekatan Action Research bagi setiap subjek yang diajar.

Menurut Pengarah Program Profesor Madya Dr. Bhasah Abu Bakar objektif penganjurannya adalah bagi mewujudkan perkongsian pelaksanaan model integrasi Naqli Aqli dalam pengajaran dan pembelajaran di USIM, dan menghasilkan bahan-bahan rujukan dalam pelaksanaan integrasi Naqli dan Aqli.

”Agenda integrasi Naqli dan Aqli ini juga diterapkan bukan sahaja di dalam aspek pengajian dan pelajar sahaja tetapi diterapkan di dalam aspek-aspek lain juga seperti Latihan dan Kursus Kakitangan Pentadbiran USIM anjuran Bahagian Modal Insan (BMI) yang telah menganjurkan Program Eksplorasi Qalbu di mana program yang bersifat outdoor ini bertujuan untuk memupuk kecemerlangan diri yang berlandaskan kesempurnaan ibadah dan menerapkan akauntabiliti dan integriti sekaligus mengangkasa imej USIM berteraskan kesebatian Naqli dan Aqli dikalangan warga USIM”, berkata Dr. Noor Azizi Ismail, Dekan FPBU dalam ucapannya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, penasihat agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir sama Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204