KUALA PILAH, 5 Mac 2020 – Dadah merupakan masalah global yang masih lagi merupakan musuh utama dan boleh menggugat keamanan dan keselamatan kepada setiap negara. Cabaran yang dihadapi dunia dan manusia khususnya ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah sangat membimbangkan dan memberi kesan buruk bukan hanya kepada penagih dadah, bahkan kepada seluruh ahli keluarga, masyarakat dan negara.

Bertemakan “Mendayaupaya Belia Ke Arah Komuniti Bebas Dadah”, program Empowering Youth for Drug Free Community (EYDFC 4.0) anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan kali ini berlangsung di D’ Kok Eco Camp Kampung Talang, Kuala Pilah. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Madya Dr. Rushdan Mohd Jailani.

Pelbagai program dan aktiviti yang dirancang sepanjang 3 hari bermula 3 hingga 5 Mac 2020, antaranya taklimat dan seminar yang disampaikan oleh wakil dari AADK Negeri Sembilan, JAKIM, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Sesi Bicara Santai dan aktiviti Outreach di rumah keluarga OKP. Program kali ini turut mendapat penyertaan dari pelajar SMK Tuanku Muhammad, SMK Senaling, Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan dan Pusat Giatmara Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah program Puan Nor Asniah Mohd Nor, program Mendayaupaya Belia ke arah Komuniti Bebas Dadah 2020 (Empowering Youth for Drug-Free Community 2020) (EYDFC 4.0 2020) merupakan inisiatif ACREDA USIM dalam usaha mengupayakan belia bagi meningkatkan tahap kesediaan komuniti terhadap program pencegahan dadah ke arah komuniti bebas dadah khususnya di Negeri Sembilan.

”Ia ini merupakan penganjuran kali ke-4 lanjutan daripada program sebelum ini yang telah diadakan pada tahun 2015, 2016 dan 2017. Program ini lebih berfokus kepada pelaksanaan pencegahan secara praktikal dalam komuniti dan memastikan komuniti mempunyai maklumat yang cukup berkaitan aspek penyalahgunaan dadah”, tambah beliau lagi.

Bagi Zainul Ariffin Abdullah, 16, berkata ini merupakan program yang kedua yang dihadiri berkenaan pencegahan dadah ini.

”Program ini banyak dedahkan saya untuk ketahui bahaya da kesan dadah ini kepada diri sendiri dan keluarga dan ia sangat bagus untuk beri peringatan kepada pelajar seperti saya khsususnya untuk tidak terjebak ke arah ini”, jelas Zainul.

Manakala Aiman Shafik Rahimi, 15, anak kepada polis Kuala Pilah ini mengatakan aktiviti dadah ini banyak memberi kesan yang buruk sehingga ada yang mencederakan orang. Program kesedaran ini sangat bermanfaat dan memberi peringatan kepada semua pelajar bahawa bahaya dan kesan sekiranya terjebak dengan masalah dadah.

Nurul Nadiah Saiful Amirudin, 19, antara mahasiswa UiTM K ampus Kuala Pilah yang sertai program ini berkongsi pengalaman sertai program ini di mana info dan maklumat sangat bermanfaat yang dapat dikongsikan kepada rakan-rakan dan komuniti lain selepas ini.

”Program ini telah menerangkan pelbagai jenis dadah dan kesan buruk yang dihadapi akibat pengambilannya. Seterusnya risiko pelajar dan mahasiswa yang mula menjinakkan diri untuk mencuba vape dan rokok juga antara faktor yang dikhuatiri mereka terjebak ke lembah dadah ini” tambah Nadiah yang mengambil jurusan Pengurusan Halal.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Rushdan Mohd Jailani. Turut hadir Tuan Haji Jaafar bin Ismail, Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Prof. Madya Dr. Faizal Kasmani.

Majlis turut berterima kasih kepada rakan-rakan strategik yang lain iaitu Yayasan Ihtimam Malaysia, Pusat Libatsama dan Jaringan Industri USIM (PLiMJi), Macdonald’s Malaysia, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM Negeri Sembilan) dan Asia-Pacific University – Community Engagement Network (APUCEN) atas usaha yang konsisten dan komitmen yang sangat tinggi dalam usaha merialisasikan program ini. Juga kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan atas sumbangan yang telah diberikan.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan