Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khususnya para warga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) menjadikan penghujung tahun 2014 sesuatu yang amat bermakna dan menggembirakan bagi mereka kerana meraikan Sambutan 10 Tahun FPSK USIM.

FPSK yang ditubuhkan oleh USIM pada tahun 2004 menjadikan Universiti ini sebagai salah-satu daripada 11 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menawarkan pengajian dalam bidang perubatan ketika ini seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Para pelajar yang melanjutkan pengajian di sini dipilih sepenuhnya dari pelajar jurusan  Tamhidi Perubatan, Pusat Tamhidi (Asasi) USIM dengan kumpulan pertama pelajar Sarjana Mudanya adalah seramai 29 orang pada 2006. Istiadat Majlis Konvokesyen Ke-11 USIM pada 2011 mencatat sejarah gembira buat FPSK dan Universiti apabila kumpulan graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dilahirkan.

Bersesuaian dengan jisim USIM yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli sebagai tunjang penubuhannya, pastinya kandungan program perubatan dan barisan doktor yang dilahirkan FPSK juga mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding IPTA lain. Ini selari dengan aspirasi dan amanah digalas ketika Fakulti ini ditubuhkan iaitu menjadi sebuah fakulti perubatan yang memartabat dan mengintegrasikan Islam dan ilmu perubatan moden dalam pengajaran dan pembelajaran samada di dalam atau luar kuliah kepada para pelajar.

Keunikan program akademiknya terbukti apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sebagai badan professional baru-baru ini telah memberi pengiktirafan akredatasi penuh selama lima (5) tahun mulai 2014-2019 kepada program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri. Kebolehan para graduan perubatannya dalam bidang kritikal ini menjadikan mereka ‘Profesional Muslim’ yang berwibawa.

Sementara itu, dalam keputusan penilaian D-SETARA 2011 yang dikeluarkan oleh MQA telah menganugerahkan pencapaian tiga (3) dari empat (4) bintang kepada FPSK. Dalam usia yang masih muda, kejayaan ini sudah membuktikan kualiti akademik dan graduan perubatan yang dibentuk oleh FPSK berada pada kelasnya yang tersendiri. Ini juga menjadikan USIM satu-satunya Universiti di Asia yang menawarkan program perubatan seumpanya yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.

Pendekatan ‘merakyatkan ilmu’ dan libatsama komuniti menjadi agenda yang dilaksanakan secara konsisten FPSK antaranya pada Mei lalu, aplikasi atas talian rukhsah solat dilancarkan di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi. Apikasi ini memberi penerangan kepada pengguna beserta dengan video untuk memberi panduan secara lengkap berkaitan rukhsah solat semasa sakit yang disampaikan oleh pelajar perubatan USIM sendiri.

Sempena 10 Tahun penubuhannya, USIM turut menerima khabar gembira apabila FPSK yang kini beroperasi di Pandan Indah akan berada di Negeri Sembilan apabila pembinaan kompleks FPSK bernilai RM 80 juta berhampiran kampus tetap USIM di Nilai akan bermula pada tahun hadapan dan dijangka siap menjelang 2018. Pada 2015 juga, projek pembinaan Hospital Pengajaran USIM juga akan bermula dengan jangkaan siap pada 2019 dengan kos sebanyak RM 500 juta.

Disediakan oleh :

Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204