Kuala Lumpur, 25 Mac 2009 – Saudari Fauziah Hassan, siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih sebagai penerima Anugerah pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2008. Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra ini adalah bersempena dengan Perhimpunan Agung ke-59 Pergerakan Wanita UMNO.
Seramai 16 penerima anugerah tersebut yang merupakan siswazah lepasan 16 institusi pengajian tinggi awam dipilih oleh panel pemilihan Wanita UMNO. Anugerah ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Di samping sebagai galakan kepada golongan wanita supaya berusaha lebih gigih bagi meningkatkan pencapaian dan daya saing dalam era globalisasi. Setiap penerima anugerah menerima rantai berserta loket emas Wanita UMNO, wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan.
Sebagai salah seorang penerima anugerah itu, Fauziah Hassan, 25 merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penerbitan) dengan gred purata mata kumulatif (CGPA) 3.87.
Beliau kini yang bertugas sebagai tutor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kewartawanan sehingga ke peringkat tertinggi.
Beliau bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti seperti pembentangan kertas kerja sempena Seminar Media Islam 2007, panel jemputan di Dialog Akademik Islam Hadhari anjuran UKM dan Persidangan Media Massa 2006 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028