KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2017 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menggondol anugerah Most Outstanding Islamic Finance Education And Research di Hotel Istana Kuala Lumpur dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah sempena Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) 2017.

“Adalah menjadi suatu penghormatan kepada USIM dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) khususnya menerima anugerah yang paling berprestij pada malam ini,” ucap YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

“Tidak dilupakan, ucapan tahniah kepada semua warga Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) atas komitmen dan usaha keras mereka untuk memastikan kejayaan demi kejayaan dicapai pada masa akan datang. Diharapkan penganugerahan yang diterima kali pertama daripada KLIFF ini dapat menyemarakkan lagi semangat dan usaha gigih fakulti ini memperkasakan pendidikan kewangan dan perbankan Islam serta penyelidikan,” tambahnya lagi.

USIM dilihat sebagai universiti Islam komprehensif paling muda yang menggarap pendekatan holistik ke arah penyampaian pengetahuan yang menyatukan sains pendedahan (pengetahuan Naqli) dan sains rasional (pengetahuan Aqli). Perintis dan fakulti terkemuka di bidang Muamalat (Perniagaan Islam) iaitu Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) memainkan peranan penting di USIM untuk memperluaskan skop program universiti ke arah yang lebih dinamik dan dipercayai. Sehingga kini, FEM telah menghasilkan lebih daripada 3000 graduan berpengetahuan, mahir dan berwibawa yang menyumbang kepada pelbagai bidang termasuk dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

Keupayaan fakulti ini yang sentiasa menyokong inisiatif penyelidikan mengenai kewangan dan perbankan Islam, termasuk kajian penyelidikan yang dibentangkan dalam persidangan berprestij di dalam dan luar negara sebelum ini, dapat menawarkan penyelesaian kepada isu-isu yang kritikal untuk pembangunan, bukan sahaja bagi inisiatif-inisiatif Syariah dan tadbir urus, tetapi juga untuk kelestarian dan kemaslahatan industri kewangan Islam secara keseluruhannya.

Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah sempena KLIFF 2017 dihoskan oleh CIMB Islamic telah dirasmikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1, Kementerian Kewangan Malaysia dan dhif-dhif terhormat dan Ketua Pegawai Eksekutif bank-bank tempatan termasuk penganugerahan Lifetime Leadership Award In Islamic Finance kepada Tuan Yang Terutama Tan Sri Dr. Ahmad Mohamed Ali Al-Madani, Presiden Emeritus Islamic Development Bank.

Disediakan oleh :
Mohd Akashah Abd Rashid
Penolong Pendaftar Kanan
Fakulti Ekonomi dan Muamalat