NILAI, 13 Sept – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bekerjasama menjayakan Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) 2014 yang berlangsung di Dewan Besar USIM baru-baru ini. Dengan bertemakan Melestarikan Perpaduan Hari Esok, CIPTA merupakan salah satu pengisian bagi memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan Malaysia Ke-57.

Program dibawah gerakan Pusat kebudayaan USIM ini mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila sebanyak 80 lirik dan 60 buah lagu telah dihasilkan dengan 10 buah lagu terbaik yang terpilih dipertandingkan pada malam tersebut. Apa yang istimewa festival ini ialah penglibatan penghuni penjara seluruh Malaysia bersama pelajar USIM berkolaborasi mencipta lagu-lagu patriotik dengan diiringi oleh pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan diadili juri professional iaitu Fauzi Marzuki, Siso Kopratasa dan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

Lagu bertajuk doa anak marhaien yang dipersembahan oleh pelajar USIM sendiri mendapat tempat di hati juri apabila dinobatkan sebagai juara pada malam tersebut. Lirik lagu ini dicipta oleh Dennis Anak Langit, dari penjara kajang, manakala komposer adalah saudara Faidzil Redzuan dari USIM. Tempat kedua dan ketiga pula  dimenangi oleh lagu Bunga Pertiwi, lirik oleh  Zainal Ariffin Latif penjara seremban, komposer oleh Mohamad Khairul Ikhwan Salleh  dan Anugerah Perpaduan lirik oleh Shahrul Hisyam Hanafiah penjara seremban dan komposer oleh Muhammad Shairazi Shaharuddin. Mereka membawa pulang wang tunai RM3000 juara, RM2000 naib juara dan RM1500 tempat ketiga dan hadiah iringan lain.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Ismail Ahmed berkata, festival yang dianjurkan ini adalah bagi memupuk kerjasama dan kesedaran masyarakat dalam memahami nilai dan makna patriotisme yang mendalam di kalangan pelajar USIM khususnya bersama penghuni penjara. “Festival ini juga sebagai platform menonjolkan bakat dan kreativiti bagi menzahirkan kecintaan kepada Negara di samping menyumbang kepada suntikan semangat jiwa patriotik yang besar kepada masyarakat Malaysia”, ujarnya.

“Melalui pengajuran CIPTA sebelum ini, sebanyak enam (6) buah lagu terbaik ciptaan mahasiswa dan penghuni penjara telah diterbitkan dalam bentuk mini album dan telah dilancarkan oleh Y.B.  Dato’ Hou Kok Chung, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Y.B. Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri bertempat di Istana Budaya Kuala Lumpur pada Februari 2011. Salah sebuah lagu yang bertajuk Jiwa Berpadu telah diterbitkan dalam bentuk video klip berdurasi 15 minit bagi menggambarkan jiwa rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan” tambahnya lagi.

Turut hadir memeriahkan festival CIPTA pada malam itu YBhg Dato’ Wan Ali bin Besar, Timbalan Ketua Setiusaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan Prof Dato’ Mohamed Asin Dollah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/8028 Faks : 06-798 8204