NILAI, 19 September 2019 – Seramai 1274 pelajar dalam kalangan keluarga BL40 (pendapatan isi keluarga di bawah RM1000), asnaf serta pelajar dalam kecemasan dikenal pasti oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Sains Islam Malaysia layak menerima bantuan menerusi Food Bank Malaysia (FBM).

Majlis dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bertempat di Panggung Seni, BHEP.

”Setakat ini, terdapat 430 penyumbang program Food Bank direkodkan di seluruh negara. USIM pula merupakan universiti ke-15 dari 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang melaksanakannya,” ucapnya.

Tambahnya lagi, USIM menerima seramai 11 penyumbang memberi sumbangan berupa barangan kering dan barangan basah iaitu Mighty Ocean Sdn Bhd, Rompin Enterprise Sdn Bhd, TF Value Mart, Faiza Marketing Sdn Bhd, Econsave Cash and Carry (FH) Sdn Bhd, NSK Trade City (NS2) Sdn Bhd, Era Plantation Tech Sdn Bhd, D’Era Pouch Industries Sdn Bhd, Mesra Erat Sdn Bhd (MyHope Mart), Pejabat FAMA Negeri Sembilan dan AEON Co (M) Sdn Bhd.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution sebelum itu menghadiri sesi bicara bersama menteri yang dihadiri seramai 600 mahasiswa USIM bagi memperkenalkan serta berkongsi pemikiran tentang inisiatif yang sedang dijalankan oleh kementerian.

YBhg Prof Dato’ Dr Roshada Hashim berkata Food Bank Siswa USIM akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu Food Pantry dan Central Kitchen.

“Food Pantry menyediakan bekalan makanan kering bertempat di Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Lokasi kedua iaitu Central Kitchen pula bertempat di dapur Kompleks Islam Tuanku Mukhriz bagi menyediakan masakan dari sumbangan barangan basah seterusnya menjalankan proses agihan makanan kepada pelajar yang memerlukan,” ucapnya.

Tambahnya lagi, Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) dalam kalangan pelajar akan membantu proses agihan barangan Food Bank Siswa USIM. Beberapa prosedur perlu dipatuhi adalah pelajar iaitu perlu membawa bersama kad pelajar untuk pengesahan kelayakan dan pengambilan barangan bagi seorang pelajar adalah sekurangnya maksima 3 barang seminggu.

FBM merupakah inisiatif peringkat nasional yang bermatlamat membantu golongan pelajar kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan pada masa yang sama menyedarkan pengguna tentang inisiatif lebihan makanan untuk mengelakkan pembaziran makanan serta mengatasi pembaziran makanan yang masih boleh dimanfaatkan. Secara tidak langsung ia mengurangkan kos operasi di pasaraya-pasaraya dan mewujudkan struktur pengurusan lebihan makanan yang lebih tersusun dan terancang.

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan