17 Oktober 2008 – Baru-baru ini Radio Televisyen Malaysia (RTM)  telah  mengadakan rakaman khas Forum Bicara Siswa yang diadakan di kampus tetap USIM. Forum Bicara Siswa adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu-isu terpilih dengan memaparkan pendapat bernas daripada panel mahasiswa dan jemputan.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menjadikan mahasiswa sentiasa peka terhadap isu-isu semasa agar dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dan membentuk mahasiswa yang mengutamakan nilai-nilai murni dalam pembangunan agama, bangsa dan negara.

USIM menampilkan Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Saudara Muhammad Alif Ismail, Timbalan yang Dipertua I, MPP USIM sebagai panel. Turut serta Saudara Mohd Zaid Mohd Idris, Yang Dipertua MPP UKM sebagai panel jemputan untuk program tersebut. Untuk memastikan program itu berjalan dengan lancar En. Muhammad Hisham Salleh, Pengacara Selamat Pagi Malaysia sebagai Pemudahcara.

Topik ”Gemilangnya Universiti Peranan Siapa” telah mengupas pelbagai pendapat yang bernas. Menurut Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti adalah satu organisasi sosial yang mempunyai pelbagai unit yang saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain. Justeru itu kegemilangan Universiti bukan sahaja di lihat dari satu aspek, tetapi semua aspek perlu diambilkira dalam merealisasikan kegemilangan universiti.

Turut hadir Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Naib Canselor USIM dan Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni.

Oleh :
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my
06-7988025/8026/8028