NILAI, 23 Jan 2015 – Pusat e-Pembelajaran USIM yang dinamakan Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global atau Global Open Access Learning Centre (GOAL Centre) menyahut sasaran dasar e-Pembelajaran Negara (DePAN) bagi membangun, melaksana dan melestarikan e-pembelajaran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Salah satu output yang disasarkan kepada GOAL Centre adalah untuk menghasilkan e-kandungan yang unik (unique academic online content) melalui integrasi ilmu Naqli dan Aqli, agar seterusnya dapat menghasilkan satu bentuk perubahan mampan dalam proses pemindahan atau perkongsian pengetahuan dan penglibatan masyarakat (sustainable change in knowledge transfer and community engagement).

Antara objektif penganjurannya adalah sebagai platform perkongsian maklumat tentang e-pembelajaran secara lebih formal dan berunsur akademik, melahirkan lebih ramai individu yang cakna dengan teknologi pembelajaran semasa dan menjadi sumber rujukan dan perbincangan berkenaan e- pembelajaran oleh warga USIM dan juga warga IPTA seluruh negara dan serantau.

Proses pembudayaan dan pembangunan e-kandungan di USIM telah dimulakan melalui penganjuran pelbagai latihan berkaitan e-pembelajaran, perkongsian amalan terbaik (GOALShare), pemberian anugerah pengguna aktif platform e-Pembelajaran USIM yang dikenali sebagai GOALS, pemberian enabler, selain turut mengambil kira penggunaan teknologi dalam pendidikan sebagai salah satu kriteria kenaikan pangkat. Momentum positif ini perlu dipacukan untuk memastikan ilmu yang bermanfaat dapat diserapkan kepada warga USIM, khususnya dikala era penggunaan teknologi komunikasi dan ICT di Malaysia sedang pesat berkembang.

Idea menganjurkan kolokium e-Pembelajaran di USIM diilhamkan oleh Pengarah GOAL Centre yang pertama iaitu Dr. Ernie Suzana Ali. Menurut beliau, keputusan untuk menganjurkan kolokium e-pembelajaran adalah amat selaras dengan hasrat untuk membudayakan pembangunan e-kandungan yang berlandaskan pedagogi, dan bertepatan dengan keperluan untuk mengilmukan masyarakat, khususnya masyarakat Islam di Malaysia. Penganjuran program ini turut disokong oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad yang menekankan bahawa teknologi boleh memainkan peranan yang meluas dalam meningkatkan ekuiti dan akses, dan memberi ruang kepada para pendidik untuk memperibadikan pembelajaran dan pengajaran dengan memperbanyakkan penglibatan pelajar melalui pelbagai kaedah yang interaktif dan inovatif.

Menyambung aspirasi Pengarah GOAL Centre yang pertama, Profesor Dr. Rozhan Mohammed Idrus selaku Pengarah GOAL Centre yang kedua menyatakan bahawa teknologi telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesamarataan kepada mereka yang berhasrat mengejar pendidikan. Beliau percaya, perkara ini merupakan gambaran tepat tentang penggabungan kaedah terbaik daripada kedua-dua medium pendidikan (konvensional dan atas talian) dalam membawa pendidikan berinovatif kepada para pelajar melalui penggabungan pedagogi dan amalan terbaik pengaplikasian teknologi terkini.

Dr. Najwa Hayaati Mohd Alwi yang merupakan penyelaras GOAL Centre merangkap Pengarah program berkata, kolokium ini dijangka akan dapat mencambahkan idea untuk mempelbagaikan pengendalian aplikasi dan kaedah yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan e-kandungan melalui penghasilan bahan pembelajaran dan pengajaran yang berpusatkan pelajar dan akhirnya dapat melahirkan persekitaran pendidikan yang bermanfaat.

Seramai 30 peserta dan 15 pembentang yang menyampaikan pembentangan kertas penyelidikan. Pemenang Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik dimenangi oleh Encik Akhdiat Abd Malek dari Fakulti Pengajian Bahasa dan Utama yang bertajuk Online Language Learning Component in the English Language Support Programme: Perceptions of Universiti Sains Islam Malaysia’s First Year Undergraduates. Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204