NILAI, 9 April 2021 – Teknologi media baharu kini semakin popular dan mendapat tempat di sektor industri media digital khususnya. Tidak dinafikan medium seperti sosial media menjadi alat perhubungan komunikasi dalam menyampaikan informasi yang pantas samada sebagai perhubungan sosial mahupun perniagaan. Cabaran dan saingan dalam sektor ini menjadikan graduan perlu merebut peluang dengan mencungkil kreativiti, tingkatkan kepakaran masing-masing bagi mendepani budaya media digital masakini.

Sempena Majlis Konvokesyen ke-18 USIM, seramai 33 graduan sulung Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan kepujian telah diraikan dengan cemerlang pada tahun ini.

Ternyata, kebolehpasaran graduan USIM berada pada tahap yang membanggakan seperti yang diucapkan oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, dimana pada tahun 2019 sebanyak 93% Kebolehpasaran Graduan (GE) dicatatkan, iaitu peningkatan sebanyak 28.9% berbanding pada tahun sebelumnya.

Bagi saudara Faiz Irsyad Nasrul Hisham, beliau kini sedang berkhidmat sebagai Digital Content Executive di salah sebuah syarikat produksi Di Damansara.

Jelas beliau, pembelajaran di kuliah serta penglibatan program-program universiti banyak memberi pengalaman serta pendedahan dengan situasi sebenar di alam pekerjaan. Walaupun ia merupakan pengalaman kerja yang pertama, Faiz mennyahut cabaran dengan mencuba ‘benda baru’ apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan ‘live show’ yang diterbitkan oleh syarikat di tempat beliau bekerja.

Manakala saudara Muhammad Nazirul Amin Shamzuri, 24, juga telah ditawarkan pekerjaan  sebagai Penyunting Video di salah sebuah NGO kemanusiaan sejurus selepas beliau tamat latihan industri di Astro pada tahun lepas.

Kemahiran dan penglibatan beliau sebagai salah seorang ahli dalam menghasilkan content digital semasa Majlis Konvokesyen USIM dua tahun berturut-turut, serta merupakan penyunting dan pengarah penghasilan video Raya USIM merupakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.

Anak kedua dari enam beradik ini, bercita-cita untuk menjadi seorang Pengarah Filem dan merancang untuk terus memperkembangkan kerjaya dan fokus dalam bidang content digital.

“Saya amat meminati bidang Public Relation dan bercita-cita untuk menjadi seorang entertainer di luar sana” ujar Zulkifli Baharudddin yang telah mendapat Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Ikon Seni Fakulti pada tahun 2019.

Beliau kini berkhidmat di Bahagian Public Relation FINAS sejurus selepas beliau tamat latihan industri di sana.

Manakala bagi saudari Adliyah Noor Habibullah,24, akui cabaran untuk mendapatkan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu akibat pandemiK Covid-19. Ketika itu, beliau cuba memulakan bisnes kek dan belajar Bahasa mandarin. Selepas 5 bulan, beliau berjaya mendapat tawaran pekerjaan dalam bidang Media Broadcasting di Syarikat Oil & Gas di Kuala Lumpur.

Begitu juga Muhammad Farhan Ramli yang kini berkhidmat sebagai juru video (stringer) di Media Prima Baling Kedah.

“Saya bercita-cita untuk bekerja sebagai juru video di bawah syarikat produksi, serta menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian Sarjana apabila kewangan dah kukuh  kelak”, ujar Farhan.

Menurut Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Prof Madya Dr Mohd Faizal Kasmani, graduan komunikasi media baharu bukan sahaja dilatih untuk mempunyai kemahiran dalam bidang media selaras dengan keperluan industri digital, tetapi juga didedahkan dengan kemahiran untuk menganalisa kesan dan impak penggunaan teknologi media baharu sama ada dari aspek psikologi, politik, sosio-ekonomi dan budaya.

“Selama empat tahun graduan media baharu diajar tentang kemahiran menghasilkan kandungan media kreatif yang bermanfaat selaras dengan nilai-nilai Islam. Melalui tenaga akademik yang berpengalaman di industri dan pakar dalam bidang seperti politik, komunikasi visual, kewartawanan dan pengiklanan dalam talian, graduan media baharu didedahkan dengan perspektif berbeza dan unik terhadap praktis amalan penggunaan media digital dan kesannya kepada masyarakat glokal”, ujarnya.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan