NILAI, 19 Dis – Pelajar Universiti  Sains Islam Malaysia (USIM), Saudara Mohamad Husaini Mahmur, 22 dipilih mewakili Malaysia ke 5th International Holy Quran Competition for Muslim Student bertempat di Milad Tower, Tehran Iran pada 1 hingga 4 Januari 2015 ini.

Mohamad Husaini merupakan pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), juga salah seorang Urus Setia Keseniaan Pelajar Pusat Kebudayaan USIM. Dalam pada itu, Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan menyifatkan dengan adanya latihan intensif bersama tenaga pengajar akan dapat mempersembahkan bacaan dengan baik di samping menjadikan pertandingan ini sebagai platform untuk menaikkan imej USIM di mata dunia.

Pertandingan anjuran Iranian Academics Quranic Activities Organization ini melibatkan peserta remaja berusia 25 tahun kebawah daripada 50 negara antaranya Azerbaijan, Bosnia, Mesir, Syiria dan Amerika Syarikat mengadakan jemputan kepada Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada JAKIM di atas pemilihan saya untuk mewakili Malaysia. Dipilih mewakili negara ke pertandingan ini adalah sesuatu yang saya tidak sangka dan pastinya saya akan berusaha yang terbaik”, ulas beliau selepas majlis amanat ringkas bersama Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad pada Khamis sebelum berlepas ke Iran pada 30 Disember ini.

Sebagai persediaan ke pertandingan ini, beliau akan dibimbing oleh Ustaz Anuar Hasin, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM yang juga merupakan Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan 2013 dan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Asean 2014 serta juara Program Akademi Al-Quran (AQ) Musim Kedua. Ustaz Annuar Hasin turut bersama beliau sebagai Pegawai Pengiring ketika di sana nanti.

Pencapaian cemerlang Mohamad Husaini dalam beberapa pertandingam tilawah Al-Quran di dalam negara pada tahun ini antaranya Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Amal Islami, Putrajaya dan Naib Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Sembilan menjadi sandaran meyakinkan untuk membawa cabaran negara nanti.

Pertandingan yang memilih beberapa bandar utama di Iran seperti Isfhan, Tehran, Mashhad dan Tabriz untuk empat edisi sebelum ini sebagai tuan rumah dianjurkan bertujuan untuk memperkasakan perpaduan Islam dan mempromosikan  keindahan ayat suci Al-Quran dan menjadi platform perkongsian budaya dan interaksi dikalangan peserta yang terlibat. Antara pengisian tambahan sempena pertandingan ini adalah penganjuran dua seminar berkaitan kemuliaan dan mukjizat Al-Quran oleh pihak penganjur.

Disediakan oleh :

Rozihani Mohamad

Pegawai Kebudayaan, Pusat Kebudayaan

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204