NILAI, 28 MEI 2016 – Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi berjaya menganjurkan Festival Seni USIM 2016 (i-Fessem’16) buat kali ketiga bertempat di Pentas Seni Pusat Kebudayaan, USIM.
Bertemakan Mengangkasa Seni Berbudaya, Pusat Kebudayaan dan Urus Setia Kesenian Pelajar mengetengahkan konsep dan persembahan yang mempunyai unsur-unsur Islam tanpa mengetepikan pendedahan intelektual kepada warga kampus.
Kumpulan kesenian Teater ATRA melalui persembahan “Seperti Inikah Dunia” berjaya merangkul Anugerah Emas Utama sekali gus membawa pulang trofi Emas Utama dalam penganjuran i-Fessem’16 kali ini.
Mengangkat tema dakwah dalam seni, ATRA membawakan kisah berkaitan isu semasa yang mengisahkan liku kehidupan seorang remaja yang terjerumus dalam lembah maksiat dan juga peranan seorang bapa dalam menangani masalah yang berlaku.
Barisan juri seperti Syed Indera Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa, vokal atau pemuzik lagu-lagu Melayu, Encik Mohd Asrof Semin, Pegawai Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hasif Idris, finalis Ikon Siarawan 2016, dan Encik Husni Zain Zakaria, Alumni Urus Setia Kesenian Pelajar didatangkan khas untuk menilai tahap kreativiti yang dilontarkan mahasiswa melalui hasil kesenian kumpulan seni masing-masing.
“Acara ini telah membuktikan kemampuan pelajar USIM dalam mengetengahkan aktiviti kesenian dan kebudayaan seiring dengan syariat,” ucap YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.
Sementara itu, Pengerusi Urus Setia Kesenian Pelajar, Hafi Huzaifah Hussin turut berkata, “Dengan tema mengangkat Seni Berbudaya, elemen Islamik berteraskan aspek Naqli dan Aqli cuba diketengahkan dalam setiap persembahan”.
Beliau berharap penonton yang hadir dapat menerima mesej yang cuba disampaikan dalam setiap persembahan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Penganugerahan Anugerah Seni USIM ini membuktikan bahawa seni bukanlah sesuatu yang dianggap picisan, sebaliknya merupakan nilai yang boleh dipersembahkan kepada masyarakat di samping membolehkan penggiat-penggiat seni menempa nama dalam industri seni tanah air kelak.
Disediakan oleh :
Ejen Berita Nor Azzida Arshad
Ejen Berita Hazirah Hussin
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204