SEPANG, 24 Oktober 2019 – Persidangan Antarabangsa Sistem Ekonomi Islam kali ke-8 2019 (I-Iecons) dengan tema Sustainable Social and Economic Islamic Well-Being telah dirasmikan oleh YB Puan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bakal menempatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai salah satu penyumbang input kepada Kerajaan untuk sama-sama memacu hala tuju negara pada masa hadapan. Beliau berkata semasa sidang media yang selepas majlis pelancaran bertempat di Movenpick Hotel pada 23 Oktober.
Menurutnya lagi persidangan ini dapat membantu Kerajaan menjayakan blueprint sosioekonomi untuk Ummah kerana sumbangan para akademik salah satu aspek penting dalam menggerakkan agenda negara.
“Apa yang paling mencabar adalah untuk menyiapkan satu kerangka di mana semua pemegang taruh dapat memainkan peranan yang membina dna memberi kerjasama positif sehingga bagi mencapai matlamat kita yang tidak hanya tinggal sebagai lipatan jurnal sahaja,” ucapnya lagi.
Prof. Dato’ Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM berkata kedudukan industri kewangan Islam yang dipengaruhi oleh saiz ekosistem Islam secara global memerlukan suatu momentum pertumbuhan yang dinamik untuk terus bertahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Islam global dengan lebih luas.
“Justeru, persidangan ini dilihat sebagai satu mekanisme di mana pakar dan sarjana boleh duduk bersama untuk berkongsi idea dan membincangkan pelbagai topik dan isu yang berkaitan,” ucapnya lagi.
Tambahnya lagi, penganjuran kali ini adalah amat penting dan menjadi wadah kepada FEM menjadi peneraju dalam pembangunan ilmu di USIM khususnya di dalam bidang ekonomi, muamalat, perbankan, kewangan dan perakaunan.
Sebanyak 100 kertas kerja dibentangkan di persidangan ini oleh ahli akademik dalam dan luar negara untuk menyebarkan hasil penyelidikan mereka. Selain itu, dua (2) kertas kerja utama yang dibentangkan oleh pakar dan tokoh-tokoh dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Persidangan I-iECONS setiap dua (2) tahun sekali merupakan satu seminar ‘branding’ Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) mendapat tajaan daripada beberapa pihak industri antaranya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Pada majlis yang sama turut dibuka pameran produk inovasi, Muamalat Interatif Game (MIG) dan Halal2U yang diilhamkan oleh Pensyarah-pensyarah FEM diketuai oleh Dr. Shahidawati Mohd Shahwan serta Zakat Game hasil inovasi pensyarah-pensyarah dari Fakulti Shariah dan Undang-Undang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azman Abdul Rahman.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan