NILAI, 11 Nov 2016 – Bertemakan “Inspiring Naqli Aqli Innovations Towards Ummah Well Being” selaras dengan misi USIM yang bertekad untuk memperkenalkan inovasi dalam penciptaan produk Islam disamping mempertingkatkan kesedaran tentang hak-hak pengguna dan kepentingan produk Islam dalam masyarakat setempat dan antarabangsa, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan sokongan sepenuhnya daripada pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Ekspo Inovasi Islam (i-Inova’16) kali ke-7 pada 10 November 2016 di Dewan Tuanku Canselor.

i-Inova kali ini berjaya mengumpulkan seramai 56 pempamer produk inovasi serta turut mendapatkan kerjasama dari Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Affin Islamic Bank Berhad dan Objective Connection Sdn. Bhd.

Dua ketegori telah dibahagikan dalam i-Inova’16 kali ini iaitu Kategori Prasiswazah yang terbuka kepada semua pelajar Universiti Awam dan Swasta manakala Kategori Terbuka adalah kepada staf akademik dan penyelidik dari pelbagai institusi penyelidikan, industri di Malaysia dan dari luar negara. Seramai 39 penyertaan diterima bagi kategori terbuka manakala bagi kategori prasiswazah sebanyak 17 penyertaan. Pada tahun ini, USIM telah menghantar sebanyak 25 penyertaan dan berjaya memenangi 3 anugerah emas dan 1anugerah perak bagi Kategori Prasiswazah, 1anugerah emas dan 1 anugerah perak bagi Kategori Terbuka, serta 4 anugerah gangsa bagi Kategori Prasiswazah dan Terbuka. USIM turut memenangi Anugerah Khas – Ibnu Sina dan membawa pulang RM1500 beserta piala.

Menurut Pengarah i-Inova kali ini, Dr Ernie Suzana Ali, “matlamat utama penganjuran i-Inova ini ialah sebahagian daripada usaha kita mengembalikan kegemilangan ilmu Islam dalam bentuk yang diterjemahkan melalui penghasilan produk yang dapat menyelesaikan permasalahan berkaitan umat Islam”.

Naib Cancelor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad pula berkata, “i-Inova merupakan satu platform pembentangan aktiviti kreativiti dan inovasi di kalangan penyelidik di dalam penciptaan produk patuh syariah dan halalan toyyiban yang mana produk atau inovasi ini berjaya menyelesaikan masalah spesifik umat Islam, selain dapat memenuhi keperluan manusia dan menyumbang kepada pembangunan ummah”.

Aktiviti lain yang turut diadakan sempena 2 hari i-Inova’16 berlangsung ialah Pameran dan Demonstrasi Sains dan Teknologi, Campuslife@USIM, Ceramah Q-Stem, Pameran Inovasi Sekolah, Hologram, Program Jejak Alumni Inovasi, Pertandingan Roket Air, Life Sketch, kuiz uji minda dan dibuka juga gerai jualan. USIM turut memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti di negara jiran dan Timur Tengah serta mewujudkan jaringan kolaborasi antarabangsa dengan negara-negara OIC dan IPT serantau oleh Islamic Consortium for Academic Quality and Research Advancement (i-IQRA) sebagai salah satu platfotm pelebaran usahama dan penukaran idea inovasi serta memberi kelainan di i-Inova’16.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah i-Inova’16 telah disempurnakan oleh Naib Cancelor USIM, Ybhg Prof Dato Dr Musa Ahmad Diharap dengan penganjuran Ekso i-Inova’16 ini dapat memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk memahami dan mengetahui perkembangan penggunaan dan penghasilan produk Islam terkini sebagai wadah untuk memperlihatkan potensi sebenar USIM sebagai Pusat Rujukan Global untuk Sains Islam dan melahirkan pemimpin Al-Ibrar yang berupaya menghasilkan ilmu dan inovasi yang mampu mentranformasikan negara, ummah dan manusia sejagat.

Disediakan oleh:

Khairul Anwar Mohd Safaai

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204