Auto/motorshow menjadi tarikan utama sepanjang Konvensyen Keusahawanan Islam anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM yang berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2009. Konvensyen yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai ini bertemakan “A Step Towards Developing Entrepreneurship”. Antara program lain yang turut menjadi perhatian adalah PC Fair, bengkel kraftangan, pertandingan mewarna dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, forum perdana, gerai jualan dan sebagainya.

Antara objektif konvensyen ini ialah memberikan pengetahuan dan pemahaman yang jelas kepada peserta berkaitan keusahawanan dan konsep pelaksanaannya. Ia juga sebagai satu usaha merealisasikan agenda kerajaan iaitu meningkatkan golongan usahawan di kalangan bumiputera dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan serta perkembangan ekonomi negara. Majlis perasmian pembukaan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda.

Salah satu pengisian konvensyen Keusahawanan Islam ini ialah Malam Anugerah dan Makan Malam Amal sempena Majlis Perasmian Penutup iCEPS 2009. Program ini dijalankan dengan berkonsepkan Makan Malam Korporat dan merupakan program julung kali diadakan. Hadir di Majlis Malam Anugerah dan Makan Malam Amal ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) MECD, Y.Bhg. Dato’ Mohd Hashim Abdullah yang turut merasmikan perasmian penutup mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), YB Dato’ Noh bin Omar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan terhadap keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan sumbangan besar produk ekonomi dan kewangan Islam yang ternyata memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara, umat Islam dan masyarakat Malaysia seluruhnya.

“Antara pendekatan yang perlu diberi perhatian adalah sektor ijtima’(masyarakat), sebagai satu daripada sektor dalam sistem ekonomi Islam (muamalat) yang sama pentingnya dengan sektor kerajaan dan swasta. Justeru itu, unsur terpenting yang menjadi tonggak kekuatan sektor ijtima’ ialah zakat, wakaf dan sedekah jariah”, katanya.

Bersempena dengan Majlis Makan Malam amal ini, jualan meja turut diadakan dan sebahagian dana akan disalurkan ke Rumah Anak Yatim Aminan Empangan, Negeri Sembilan. Majlis turut dihiburkan dengan persembahan dari artis terkenal seperti Amy Search, nyanyian nasyid oleh kumpulan Feel Heart, deklamasi sajak dan puisi dan juga kutipan dana Amal untuk Palestin.

Oleh :
pro@usim.edu.my
06-798025/8026/8028