iECONS2017 wadah pertukaran ilmu industri ekonomi Islam secara menyeluruh

OMAN, 14 Disember 2017 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama College of Banking and Financial Studies (CBFS), Muscat, Oman telah menganjurkan The 7th Islamic Economic System Conference 2017 (iECONS2017) pada 12 dan 13 Disember 2017 dengan tema “Extending the Frontier of Islamic Economics: Cultivating a Dynamic Social Finance Culture fo Global Economic Sustainability” bagi memenuhi keperluan mengenalpasti dengan lebih mendalam dan terperinci hubungan antara kewangan sosial dan kelestarian sistem ekonomi Islam seantero dunia. Antara pengucaptama yang hadir membentangkan kertas kerja ialah YBhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia dan Shaikh Dr. Kahlan Nabhan Al Kharousi, Pengerusi Penyeliaan Tertinggi Shariah Bank Pusat Oman.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata ia menjadi suatu penghormatan kepada USIM kerana terlibat dengan gagasan penganjuran yang hebat ini.

“Kami berharap pengetahuan dan idea yang dikongsi akan meningkatkan wacana keintelektualan dalam bidang yang dibahaskan melalui persidangan ini. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada College of Banking and Financial Studies (CBFS), Muscat, Oman dan juga pihak Bank Pusat Kesultanan Oman, pembiaya dan semua yang terlibat dalam menjayakan persidangan ini.”

Tidak dilupakan, ucapan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa program di bawah Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) atas komitmen dan usaha gigih berterusan mereka untuk memastikan kejayaan sebagai fakulti pertama di USIM yang menganjurkan seminar di Timur Tengah dan Asia Barat ini. Semoga iECONS2017 menjadi batu loncatan dan projek rintis yang membuka lebih banyak peluang dan kerjasama di masa hadapan,” tambahnya lagi.

Persidangan ini dilaksanakan bertujuan untuk menggembleng seluruh sumber dan tenaga kepakaran dari dunia akademik dan praktis untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh dalam menyebarkan maklumat mengenai peluang dan potensi perbankan dan kewangan Islam secara menyeluruh sebagai pemangkin budaya kewangan sosial yang dinamik. Selain itu, iECONS2017 mampu menganalisa isu-isu semasa dan cabaran untuk mengenalpasti dengan lebih mendalam dan terperinci hubungan antara kewangan sosial dan kelestarian sistem ekonomi Islam.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian iECONS2017, Presiden Ekekutif Bank Puat Oman, Tuan Yang Terutama Tahir bin Salim al-Amri berkata Oman sentiasa menyokong inisiatif penyelidikan mengenai kewangan sosial dan sistem ekonomi Islam. Beliau berkata hasil kajian penyelidikan yang dibentangkan pada persidangan ini dapat menawarkan penyelesaian kepada isu-isu yang kritikal untuk pembangunan, bukan sahaja, bagi inisiatif-inisiatif Syariah, tetapi juga untuk sistem dan industri kewangan Islam secara keseluruhannya.

“Saya berharap perbincangan dan pertukaran idea antara kalangan para sarjana pada hari ini dapat menyumbang kepada sistem ekonomi Islam yang berkesan untuk kesejahteraan ummah,” ucapTahir bin Salim al-Amri.

Seminar selama dua hari ini diakhiri dengan penganjuran International Workshop on Shariah Audit 2017, turut dihadiri oleh Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman dan Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Ahli Majlis Profesor Negara yang turut membentangkan kertas kerja.

Disediakan oleh :
Mohd Akashah Abd Rashid
Fakulti Ekonomi dan Muamalat

2018-01-02T15:47:12+00:00