NILAI – Menonjolkan golongan belia bercirikan Islamik sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan melalui pelbagai pengisian menarik dalam penganjuran Ihtifal IPT ASEAN Kali ke 2 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Taqwa telah menarik penyertaan yang menggalakkan dari IPT serantau.

Penganjurannya yang bermula 31 Jan hingga 4 Februari 2013 mengetengahkan empat acara utama iaitu Pertandingan Debat Bahasa Arab, Nasyid, Tilawah Al-Quran dan Konvensyen Pendakwah Muda. Pelbagai institusi pengajian tinggi daripada Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Malaysia berkampung di USIM bagi menyahut tema Ihtifal kali ini iaitu “Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah”.

JAKIM selaku urusetia Konvensyen Pendakwah Muda yang menerapkan pendekatan dakwah orang muda yang ternyata memberi sinergi yang amat positif pada khalayak yang hadir. Antara pengisian Konvensyen selama sehari pada 3 Februari 2013 itu adalah pembentangan kertas kerja oleh tokoh akademik dan pemimpin belia, bicara selebriti dan diadakan pula Forum Perdana Ehwal Islam pada sebelah malamnya di Stadium Tertutup Nilai.
Majlis Penutup Ihtifal IPT ASEAN telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri oleh YBhg. Pro. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM, Pengurusan Universiti dan wakil JAKIM.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan “Program Ihtifal ini menggambarkan bahawa golongan belia rancak menguasai ilmu pengetahuan yang merupakan satu aspek ibadah jika disertai dengan niat untuk mengajak pendengarnya mengingati Allah S.W.T dan berbuat kebaikan”. Menurutnya lagi “Kehebatan generasi belia Islam pada masa silam telah terbukti sehinggakan ada di antara kisah perjuangan mereka dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran. Di antara mereka ada sebahagian tergolong sebagai Rasul dan Nabi dan golongan biasa”

Dalam pada itu, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Indonesia berjaya mengekalkan kejuaran lalu dalam Pertandingan Akhir Debat Bahasa Arab IPT ASEAN apabila menewaskan pasukan USIM. Kekecewaan USIM terubat dengan kejayaan mengungguli kategori Nasyid dan Tilawah Al-Quran melalui Kumpulan Interacksee dan Saudara Mohamad Husaini Mahmur (Qari). Saudari Sofizah Mohsin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul johan bagi Tilawah Al-Quran kategori Qariah.

Di akhir majlis, wakil perserta Konvensyen Pendakwah Muda Asean turut menyerahkan resolusi konvensyen untuk perhatian YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zin.

Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)