Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinDekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Alhamdulillah, tahun 2018 telah melabuhkan tirai dan pastinya kita semua telah melayarinya dengan penuh cemerlang dan jayanya. Kini kita berada di awal tahun 2019 dengan meninggalkan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita pada tahun 2018. Ada yang mengganggap peralihan tahun ini merupakan satu peristiwa yang penting dan bermakna dalam sejarah hidup mereka dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri setiap manusia.

Kesan tersebut ialah sama ada yang mengenai aspek pembangunan nilai positif atau aspek pembersihan unsur negatif dalam diri seseorang. Dalam konteks pembangunan nilai positif, ia akan membawa individu dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan akhirat, manakala pembersihan unsur negatif pula membawa kepada perasaan insaf dan membersihkan diri daripada dosa dan maksiat sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 18:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Berdasarkan ayat ini, Islam amat menggalakkan agar umatnya melakukan muhasabah diri mengenai perbekalan menuju akhirat nanti dan berusaha untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan amalan selagi mana di beri kesempatan oleh Allah SWT. Ini merupakan langkah ke arah meningkatkan kualiti diri menjadi umat yang terbaik.

Apabila datangnya tahun baharu, maka kita sering dikaitkan dengan azam dan cita-cita tahun baru. Tidak salah untuk menanam azam, tetapi haruslah seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha yang bersungguh-sungguh perlu disusuli, supaya cita-cita dan azam tersebut menjadi realiti bukannya sekadar azam kosong.

Islam menuntut umatnya untuk bermuhasabah kerana sifat manusia itu sendiri yang banyak kelemahan dan kekurangan perlu kepada peringatan. Jika sifat kekurangan ini dibiarkan, ia menyukarkan mereka untuk melihat kelemahan diri sendiri dan cenderung pula melihat kelemahan dan aib orang lain. Bahkan ia menyebabkan sesetengah orang merasakan dirinya sahaja yang betul dan orang lain adalah salah.

Lantaran itu, penulis menyeru semua pihak untuk menjadikan tahun baharu kali ini sebagi salah satu titik mula untuk kita menginsafi kelemahan diri terhadap kesalahan yang pernah dilakukan kepada Allah SWT dan sesama manusia dengan tekad yang bersungguh-sungguh untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Usahlah kita membuang umur dan masa dengan sia-sia tanpa sedikitpun rasa menyesal atau bersalah. Insaflah, umur kita sangat singkat dan apa yang berbaki ini hendaklah diambil kesempatan dengan beramal dan berbakti. Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabdanya:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu (i) masa muda sebelum masa tua, (ii) masa sihat sebelum masa sakit, (iii) masa kaya sebelum masa miskin, (iv) masa lapang sebelum masa sibuk, dan (v) masa hidup sebelum masa mati”.

Penulis juga tertarik dengan satu lembaran hikmah nukilan Buya HAMKA bertajuk ”Terlena”. Kata HAMKA:

Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena. Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi. Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar. Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan. Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan. Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia? Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan Tok Wan, Atok ataupun Nenek menandakan kita sudah tua. Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat. Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, eratkan silaturrahim tidak pernah dibuat. Justeru, apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut? Hati berkata: tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku. Belum cukupkah kita menyia-nyiakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun? Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan, dan tahun lagi agar kita bersedia untuk mati? Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang terlena.

Marilah kita mulakan tahun 2019 ini dengan jiwa yang bersih dan penuh semangat agar diberi kemudahan dan kesempatan untuk menambah amal penuh keikhlasan. Jika kita tergelincir dalam kemaksiatan, maka bersegeralah kita kembali ke pangkal jalan memohon keampunan daripada Allah SWT dengan amal kebajikan kerana pahalanya dapat menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Hisablah diri kita dengan melihat masa-masa yang lalu dan sekarang, apakah kita masih berada di landasan yang lurus mematuhi segala perintah Allah SWT atau sebaliknya. Istiqamahlah dan tekun dalam berusaha untuk mencapai sesuatu yang dicitakan kerana ia merupakan kriteria terpenting orang mukmin. Firman Allah SWT dalam surah al-Ar-Ra’d ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”.